Sorting by

×

Hubungan lebih baik dengan pemain, pendekatan lebih berfokus di bawah struktur baharu – Rexy

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Jurulatih negara akan dapat mengenali pemain bimbingan mereka dengan lebih baik dan mengambil pendekatan dengan lebih berfokus di bawah struktur baharu yang diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini, kata Rexy Mainaky.

Rexy yang akan menyelia keseluruhan jabatan beregu selaku pengarah kejurulatihan beregu berkata jurulatih kini akan melatih jumlah pemain yang lebih rendah jadi mereka akan dapat mengetahui keperluan anak buah mereka dengan harapan mereka dapat berusaha dengan lebih baik ke arah kejayaan.

Bekas Juara Olimpik dan Juara Dunia yang kembali ke BAM sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan pada 1 Dis sebelum diberikan peranan baharu hari ini dipercayai struktur baharu ini akan dapat meminimumkan masalah di pihak kejurulatihan.

“Apabila angkanya kecil, mereka akan mengetahui dengan lebih baik, setiap sudut dan sikap pemain mereka, jika mereka tidak benar-benar menumpukan perhatian kepada latihan dan apa harapan pemain terhadap jurulatih mereka. Jadi laporan yang saya terima adalah lengkap dan saya boleh membincangkannya dengan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Datuk Kenny Goh mengenai isu itu.

“Jika jurulatih mahu menumpukan kepada setiap orang, ia adalah sukar dan tiada siapa akan menghasilkan keputusan yang diinginkan. Akan ada beberapa jurulatih beregu di bawah saya dan sekitar 32 pemain, ” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat maya jawatankuasa itu di sini hari ini.

Bagaimanapun, Rexy mengakui untuk melakukan perubahan daripada sistem sedia ada kepada satu sistem baharu bukannya mudah tetapi beliau berharap dengan pendekatan baharu ini dan penjelasan yang lebih baik, prestasi pemain akan bertambah baik tahun hadapan.

Terdahulu, Kenny mengumumkan penstrukturan semula BAM dengan Pengarah Kejurulatihan Wong Choong Hann akan memikul tanggungjawab selaku Pengarah Jabatan Perseorangan sementara pakar beregu Rexy mengambil alih Jabatan Beregu,

Sementara itu, Choong Hann berkata perubahan itu adalah untuk kebaikan masa hadapan dan beliau mengakui terdapat kelewatan dalam proses membuat keputusan dalam struktur sebelumnya dengan beliau perlu menyelia jabatan — perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran dengan setiap jabatan mempunyai ketua jurulatih dan jurulatih berasingan.

“Buat masa ini saya mahu menumpukan kepada struktur perseorangan. Saya percaya kami mampu meningkatkan kecekapan dalam aksi kami dan ini adalah sesuatu yang kami sedia untuk melakukannya.

Dengan kepakaran Rexy, ia merupakan satu kelebihan kerana beliau boleh menjaga jabatan beregu sementara pengurusan dan pengaturan semua pemain di bawah bumbung beregu akan menjadi lebih lancar untuk mencuba gandingan baharu antara lelaki, wanita dan beregu campuran,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

510
Kongsi :
Previous post Banjir: 28 keluarga dari dua daerah Melaka terima bantuan wang ihsan
Next post Jumlah mangsa banjir di dua negeri turun, tiga negeri kekal
Ubah saiz-+=