Sorting by

×

Huawei tunjuk minat melabur di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH – Misi Pelaburan dan Promosi Pelancongan Kerajaan Negeri Melaka ke China diakhiri dengan perjumpaan penting empat mata antara Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Presiden Sektor Awam Global, Huawei Technologies Co. Ltd, Xia Zun berlangsung di ShenZhen City, Guangdong, pada Ahad.

Pada perjumpaan itu Ketua Menteri, menyatakan hasrat untuk menjemput Huawei Technologies menjadi rakan kongsi digital sempena promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Saya sifatkan pertemuan ini cukup berjaya dan memberikan banyak idea untuk manfaat kedua-dua pihak. Saya juga turut menyambut baik cadangan Xia Zun untuk melabur dalam pelaburan pendigitalan, seterusnya mempromosikan industri pelancongan pintar dan pemindahan teknologi ke Melaka.

“Kerajaan negeri juga mencadangkan pembabitan Huawei untuk menjalinkan kerjasama dalam sebahagian daripada projek aplikasi Melaka Super App,” kata Ketua Menteri menerusi perkongsian di Facebook rasmi beliau.

Ketua Menteri berkata, tugasan rasmi beliau bersama delegasi Kerajaan Negeri Melaka ke China selama seminggu disifatkan cukup berjaya bagi memperkenalkan Melaka sebagai destinasi pelaburan baharu.

“Antara fokus misi kali ini adalah melawat pusat kenderaan elektrik seterusnya mempromosikan Negeri Melaka sebagai hab pengeluaran kenderaan elektrik; di samping mahu meningkatkan kerjasama melangkaui ekonomi, budaya, pelancongan dan ekonomi digital,” kata beliau.

Pada perjumpaan itu, delegasi Kerajaan Negeri turut dihadiri Penasihat Khas Pelaburan Ketua Menteri merangkap ‘Special Envoy’ Melaka ke China, Datuk Lim Ban Hong; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Md Azhan Samat; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI), Masrul Faizal Mohamad dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Melaka, Jaibalan Harirajan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1401
Kongsi :
Previous post Kajian Hang Tuah penting untuk generasi masa depan
Next post Basikal air bantu kutip sampah di Sungai Melaka
Ubah saiz-+=