HSR penting demi limpahan ekonomi rakyat Melaka – Roslan
SERI NEGERI 6 Jan. – Kerajaan diharap dapat terus mempertimbangkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) meskipun perancangan asal membabitkan dua buah negara iaitu Malaysia dan Singapura sudah terputus di tengah jalan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Negeri Datuk Roslan Ahmad berkata, kewujudan projek itu amat penting memandangkan ia diyakini dapat memberi limpahan ekonomi yang besar kepada negeri yang terlibat, khususnya kepada rakyat.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan sudi mempertimbangkan projek HSR 3.0 dalam pakej terbaharu tanpa penglibatan Singapura sekali pun, ia akan tetap disambut baik kerajaan negeri.
“Kita percaya jika ada perancangan terbaharu kerajaan persekutuan untuk meneruskan HSR dari Kuala Lumpur hingga ke Johor Bahru di masa akan datang, ia masih mampu memberi impak yang besar.
“Ini kerana kita melihat projek ini berupaya memberi limpahan ekonomi yang besar, khususnya kepada Melaka dan negeri-negeri atau jajaran yang terlibat.
“Mungkin selepas ini orang-orang di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dapat menikmati kewujudan HSR dari sudut perhubungan yang mana perjalanan akan jadi lebih mudah, cepat dan segala urusan boleh diselesaikan dalam tempoh satu hari sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Roslan berkata, sebelum pembatalan projek HSR di antara Malaysia dan Singapura, kerajaan negeri sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk mengembangkan stesen yang bakal dibangunkan itu ke jajaran-jajaran lain di seluruh Melaka dalam usaha memperkasakan ekonomi negeri.
Namun, perancangan tersebut tidak akan memberi makna apa-apa sekiranya projek berkenaan ditamatkan begitu sahaja tanpa sebarang pelan B atau perancangan susulan.
“Sebab itulah saya sebagai Exco berharap kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan semula HSR ini di masa akan datang. Mungkin HSR itu masih boleh dilaksanakan dalam bentuk atau pakej yang baharu.
“Cuma kita harap jajaran sedia ada yang melibatkan Melaka akan terus dikekalkan,” katanya.