HSR: Melaka masih berharap
SERI NEGERI 4 Jan. – Melaka masih berharap untuk memiliki sekurang-kurangnya satu stesen kereta api di negeri ini dalam usaha merancakkan ekonomi negeri di masa akan datang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, walaupun projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura telah ditamatkan Jumaat lalu, namun beliau masih menaruh keyakinan akan ada satu perancangan baharu yang lebih baik direncanakan kerajaan.
Jelasnya, ia termasuklah ura-ura untuk meneruskan projek itu tanpa penglibatan Singapura, yakni hanya melibatkan jajaran dari Kuala Lumpur hingga ke Johor Bahru.
“Ya, saya tidak mahu cakap banyak, apa pun jajaran yang akan dirancang, satu stesen mesti ada di Melaka.
“Hal ini penting kerana saya percaya ia dapat menyokong koridor ekonomi baharu yang sedang kita rangka, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ),” katanya kepada pemberita hari ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman mengakui pembatalan HSR itu sedikit sebanyak sudah merencatkan pelbagai pembangunan yang sedang dirangka di negeri ini.
Namun, beliau enggan mengambil pendekatan menoleh belakang, sebaliknya akan tetap meneruskan segala perancangan yang akan memberi impak positif bukan sahaja kepada negeri, bahkan rakyat Melaka.
“Kita di Melaka mempunyai perancangan kita sendiri. Jika ia dihentikan, sedikit sebanyak memang merencatkan sedikit perancangan pembangunan yang kita mahu laksanakan.
“Tapi apa pun, kita akan teruskan juga dengan beberapa pembangunan yang sudah dirancang untuk memberi limpahan ekonomi buat negeri,” ujarnya.
Terdahulu, pada Jumaat, Malaysia dan Singapura memutuskan HSR dibatalkan selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir pada 31 Disember 2020.
Pembatalan itu menyaksikan Melaka antara negeri yang terkena tempiasnya memandangkan negeri ini bakal mempunyai sebuah stesen dilalui HSR dalam perjalanan yang dianggarkan sejauh kira-kira 350 kilometer menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.