Sorting by

×

HPN 2021, ‘JPN 73 Tahun : Transformasi Digital’

Masa Membaca:4 Minit, 39 Saat

Oleh Norazle Sulaiman

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka

TARIKH 1 Oktober setiap tahun bermula pada 2013 diisytiharkan sebagai Hari Pendaftaran Negara (HPN).

HPN disambut untuk memberi satu pengiktirafan terhadap pengwujudan dan peranan JPN dalam urusan pendaftaran, pengeluaran dan penyelenggaraan dokumen pengenalan diri sejak 1881.

Tarikh ini dipilih sebagai HPN kerana mengambil sempena tarikh peristiwa pengeluaran Kad Pengenalan Kertas yang pertama berlaku pada 1 Oktober 1948.

Setelah, 73 tahun peristiwa ini menjadi catatan sejarah negara, dan seiring dengan kecanggihan teknologi semasa, slogan yang dipilih untuk HPN pada tahun ini adalah ‘JPN 73 Tahun : Transformasi Digital’.

Sebagai seebuah Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ia bertanggungjawab mendaftar peristiwa penting setiap individu seperti maklumat kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan perceraian.

Di samping itu, JPN juga bertanggungjawab dalam menentukan taraf kewarganegaraan dan seterusnya mengeluarkan dokumen identiti individu dalam bentuk kad pengenalan kepada mereka yang layak.

JPN ditubuhkan selepas Peraturan-peraturan Darurat (Kawasan–kawasan Pendaftaran) 1948 dikuatkuasakan sebagai satu langkah untuk menentang ancaman keselamatan.

Peraturan-peraturan ini memerlukan semua penduduk supaya mendaftar dan memperolehi kad pengenalan apabila mencapai umur 12 tahun ke atas.

Menyelusuri sejarah terdapat beberapa peristiwa penting sistem rekod dan pendaftaran penduduk di negara kita seperti proses menyalut kad pengenalan pada 1961; penukukaran Kad Pengenalan Kertas ; dan pengeluaran kad pengenalan plasik pertama bernombor 0000001 milik Tunku Abdul Rahman Putra al-haj.

 

Sementara itu, JPN Melaka mempunyai tujuh pejabat yang melibatkan ke semua daerah iaitu JPN Negeri Melaka di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, JPN Cawangan UTC di Jalan Hang Tuah dan JPN Cawangan Melaka Tengah (Plaza Pandan Malim).

Ini diikuti JPN Daerah Alor Gajah (Bangunan Tabung Haji, Masjid Tanah) dan JPN Cawangan Bandar Alor Gajah (Wisma UMNO Masjid Tanah di Alor Gajah).

Selain itu, JPN Daerah Jasin (Taman Maju, Jasin) dan JPN Cawangan PKD Sungai Rambai (JAPERUN Sungai Rambai).

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, waktu operasi pejabat dan kaunter dibuka pada setiap hari bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali pada hari cuti dan kelepasan am.

Manakala waktu perkhidmatan di JPN UTC Melaka adalah melangkaui norma waktu dan hari bekerja konvensional yang mana ia turut beroperasi pada Sabtu dan Ahad dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Dengan berbekalkan sumber tenaga seramai 120 orang daripada pelbagai gred dan jawatan, JPN Melaka kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan melangkaui ekspektasi pelanggan yang berteraskan kepada budaya kerja kelas pertama, serta sentiasa berusaha untuk menambahbaik kualiti sistem penyampaian kepada pelanggan.

Seiring itu, selain berurusan secara fizikal di kaunter, pelanggan juga boleh melakukan beberapa perkhidmatan atas talian.

Antaranya, Urusniaga Kad Pengenalan, Permohonan Pendaftaran Kelahiran Dalam Talian, Permohonan Cabutan / Salinan Sijil Kelahiran yang Diperakui Dalam Talian, Permohonan Perkahwinan Tanpa Lesen Secara Dalam Talian (Bukan Islam) dan Semakan Permohonan Perkahwinan Tanpa Lesen (Bukan Islam) Yang Dipohon Secara Dalam Talian.

Selain itu, Semakan Penolong Pendaftar Perkahwinan (Bukan Islam), Status Permohonan MyKid, myIDENTITY (Kemaskini Alamat Surat Menyurat), MyPhone-In, Perkhidmatan MySMS dan Sistem Aduan Integriti KDN.

Ke semua perkhidmatan atas talian ini boleh diperolehi melalui laman sesawang jabatan di www.jpn.gov.my.

Ini adalah beberapa contoh produk perkhidmatan terkini bersesuaian dengan arus peredaran zaman dan teknologi ICT selaras dengan tema HPN tahun ini.

Meskipun umum mengetahui bahawa JPN terlibat sebagai jabatan/agensi yang perlu mengawal jumlah kehadiran pelanggannya melalui kaedah temujanji di https://mytemujanji.jpn.gov.my, namun beberapa perkhidmatan yang bersifat mendesak dan segera dibenarkan untuk dibuat secara tanpa janji temu.

Antaranya adalah pendaftaran kelahiran kanak-kanak berumur 45 hari ke atas tetapi belum genap 60 hari; bagi tujuan perubatan; pendaftaran anak kepada warga asing yang lahir di Malaysia untuk dibawa pulang ke negara asal; pendaftaran kematian dan gantian Mykad rosak/hilang.

Dalam usaha mendekatkan perkhidmatan yang ditawarkan dengan masyarakat dan selaras dengan slogan JPN iaitu ‘Rakyat Di Hati JPN’, jabatan ini sentiasa mencari ruang dan peluang yang luar daripada kebiasaan dan keselesaan untuk memastikan setiap perkhidmatan sampai kepada yang memerlukan.

Sebagai contoh, Program MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat) yang merujuk kepada program-program turun padang JPN seperti Mobile Ehsan, Bas Mobile, MyDaftar, Khidmat Nasihat dan Pameran adalah produk perkhidmatan luar pejabat yang kerap dilakukan di negeri Melaka ini.

Ia bagi membantu golongan yang tidak bernasib baik seperti warga emas, pesakit terlantar, dan orang kurang upaya (OKU) termasuklah mereka yang dikenalpasti oleh pemimpin komuniti masyarakat yang perlu dibantu tanpa perlu hadir ke kaunter JPN.

Untuk rekod, JPN Negeri Melaka telah berkolaborasi dengan hampir semua pejabat JAPERUN di negeri ini, termasuklah pihak JPKK, NGO dan pemimpin masyarakat.

Malahan, kerjasama erat sentiasa dilaksanakan dengan Pejabat Ketua Menteri Melaka dan jabatan/agensi di bawahnya bagi menangani dan membantu permasalahan masyarakat yang berkaitan dengan isu dokumen pengenalan diri yang dirujuk ke pihak tersebut.

Berbekalkan semangat merakyatkan perkhidmatan awam, semua lapisan masyarakat bolehlah hadir atau menghubungi pejabat JPN yang berhampiran untuk mendapatkan perkhidmatan, khidmat nasihat dan seterusnya menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Bersempena HPN Tahun 2021 juga, pelbagai program yang berskala sesuai dengan SOP Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara akan diadakan di peringkat JPN Negeri Melaka iaitu, Dialog@Gegau Pagi MelakaFM, Hari Bertemu Pelanggan Secara Norma Baharu, Webinar Isu-Isu Pendaftaran dan Ziarah Ihsan.

Maklumat program ini dan info-info berkaitan JPN Negeri Melaka boleh diperolehi di https://twitter.com/jpnmelaka.

Semoga dengan perkongsian ini, juga komitmen berterusan yang dilakukan oleh jabatan dalam memajukan tahap perkhidmatannya, dapat menjadikan urusan hal ehwal pendaftaran rakyat negeri Melaka pada tahap yang terbaik.

Di samping dapat membantu mengurangkan permasalahan dan isu lazim yang kerap dihadapi oleh rakyat, serta seiring dengan agenda kerajaan Negeri Melaka untuk meletakkan negeri ini pada tahap maju jaya, rakyatnya yang bahagia dan menggamit dunia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1618
Kongsi :
Previous post PBB perlu senada tamatkan keganasan dunia
Next post Enam individu dikompaun rentas negeri melancong ke Pulau Redang
Ubah saiz-+=