Sorting by

×

HOTEL WAKAF PACU PEMBANGUNAN EKONOMI ISLAM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PANTAI KUNDOR 24 Mac – Konsep wakaf dalam industri perhotelan dapat memacu pembangunan ekonomi Islam di negara ini, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Menurut beliau, menerusi kewujudan hotel-hotel wakaf di negara ini, ia secara tidak langsung dapat membuka mata ramai pihak yang sebelum ini lebih cenderung melihat wakaf hanya dalam sudut pembinaan masjid atau tanah perkuburan.

Jelas beliau, menerusi kewujudan hotel-hotel wakaf ini ia bukan sahaja menjadi instrumen dalam pembangunan ekonomi, bahkan pulangannya juga dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Kita mahu tunjukkan bahawa perhotelan Islam juga boleh digunakan sebagai satu asas mewujudkan wakaf untuk kepentingan kerana hasil daripada pengurusan hotel wakaf ini, manfaatnya dapat diberikan kepada golongan memerlukan bantuan.

“Cuma satu sahaja pesan saya iaitu meminta pihak pengurusan menguruskan hotel wakaf ini dengan baik.

“Ini kerana, jika rosak hotel wakaf ini, ia akan memberi imej yang negatif kepada konsep dan instrumen wakaf itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Rantaian Kasih bersama Anak-anak Yatim dan Miskin sempena Bulan Wakaf Kebangsaan di Hotel Puteri Bay, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Selamat Paigo dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) Dr. Ridzwan Bakar.

Menurut beliau, setakat ini terdapat empat hotel wakaf di negara ini iaitu di Puteri Bay, Tanjung Kling, Melaka; The Regency Hotel Seri Warisan (JAWHAR-MAIPk) Taiping, Perak; The Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu, Terengganu dan Klana Beach Resort Port Dickson, Negeri Sembilan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post MELAKA PELIHARA WARISAN ORANG ASLI
Next post KUTIPAN ZAKAT MENINGKAT KERANA WUJUDNYA KEPERCAYAAN