
HOTEL MITC ‘BELANJA’ 60 MURID SRA JAIM MERLIMAU PASIR BERBUKA PUASA
AYER KEROH 5 Mac – Seramai 60 murid Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Merlimau Pasir disantuni pada Majlis Berbuka Puasa dan Memperkenalkan Bufet Ramadan Hotel MITC 2025.
Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP) Hotel Sdn Bhd, Abdul Hakim Abdul Wahid berkata pihaknya mengambil kesempatan menjalankan tanggungjawab sosial korperat (CSR) sambil memperkenalkan lokasi juadah berbuka pilihan.
Katanya, memasuki tahun kedua pihak MCORP Hotel menjemput anak-anak terpilih dari sekolah yang sama untuk menikmati pelbagai juadah berbuka puasa yang disediakan Hotel MITC.
“Alhamdulillah, tahun ini memasuki tahun ketujuh Hotel MITC menyediakan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa.
“Pada majlis tahun ini kita meneruskan tradisi seperti tahun lalu iaitu dengan mengambil kesempatan menyantuni anak-anak yatim, golongan kurang berkemampuan pada majlis memperkenalkan Bufet Ramadan Hotel MITC 2025.
“Disamping itu juga, kami komited dalam menyediakan pengalaman berbuka yang tidak melupakan nilai-nilai beramal Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Memperkenalkan Bufet Ramadan Hotel MITC, di sini, semalam.

Sementara menunggu waktu berbuka, Abdul Hakim turut menyampaikan sumbangan kepada murid cemerlang daripada SRA JAIM Merlimau Pasir.
Abdul Hakim turut memaklumkan, bermula 17 Mac hingga 27 Mac, kaunter zakat fitrah turut dibuka di pintu masuk ke Brisu Courtyart, Hotel MITC.
“Kita sediakan kaunter zakat fitrah bagi memudahkan tetamu yang ingin membayar zakat dengan selesa.
“Aspek keselesaan juga telah ditambah baik, tetamu dapat menunaikan solat dengan lebih selesa di surau yang lengkap disedisakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.