Hotel Casa Del Rio jual pisang goreng pandu lalu.
BANDA HILIR 19 Feb. – Bagi menjana pendapatan sampingan sepanjang tempoh pandemik COVID-19, Hotel Casa Del Rio, di sini, memperkenalkan jualan menu minum petang dengan harga ekonomi kepada orang ramai.
Pemangku Pengurus Besar Hotel Casa Del Rio, Agnes Tay berkata, inisiatif itu dilakukan selepas mendapati menu minum petang sukar didapati di sekitar Banda Hilir, sekali gus memudahkan orang ramai dan pengunjung sekitar untuk membelinya.
Jelasnya, antara menu diperkenalkan seperti goreng pisang, keledek goreng dan cucur udang dengan harga serendah RM5 sekotak, selain turut memperkenalkan konsep pembelian secara pandu lalu.
“Memandangkan kes COVID-19 masih tinggi, konsep jualan adalah secara pandu lalu untuk mengurangkan sentuhan dan pada masa sama memudahkan pekerja atau orang ramai di sekitar Banda Hilir untuk membeli makanan.
“Menariknya, walaupun makanan disediakan oleh chef hotel, kesemua menu yang dijual boleh dibeli dengan harga ekonomi.
“Paling penting, dalam tempoh sukar ini kita mahu pastikan hotel masih menjana pendapatan sekali gus mengekalkan kesemua 80 pekerja dalam tempoh suram sektor pelancongan negara ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita dalam program Promosi Drive Thru Action Stall Goreng-Goreng sempena PKPB di lobi hotel berkenaan, petang semalam.
Mengulas lanjut, katanya sambutan yang diterima orang ramai sangat menggalakkan selepas dua minggu memperkenalkan inisiatif jualan enam menu minum petang termasuk pastri itu.
“Gerai di hotel ini dibuka mulai jam 2 hingga 4 petang dan kita turut menerima tempahan dalam talian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.