Sorting by

×

Hot Air Balloon TMM2024 dipindahkan ke Pavilion Dataran Pahlawan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERI NEGERI 30 November – Pelaksanaan acara Hot Air Balloon di Dataran Klebang dialih ke kawasan Pavilion Melaka, Padang Dataran Pahlawan pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata perbincangan bersama pengendali acara tersebut telah telah dilakukan.

Katanya, lokasi di Dataran Klebang tidak sesuai ekoran angin yang kuat di kawasan terbabit menyukarkan pergerakan Hot Air Balloon.

“Selain itu, menurut Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) keseluruhan kawasan Dataran Klebang adalah laluan penerbangan bagi latihan pesawat dan cadangan lokasi tersebut perlu dikaji dengan lebih teliti sebelum pelaksanaan acara Hot Air Balloon.

“Acara Hot Air Balloon akan menjadi ‘signature’ produk sempena TMM2024 dan pelancong boleh merasai pengalaman menaiki Hot Air Balloon di Pavilion Melaka di Dataran Pahlawan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) mengenai cadangan Kerajaan Negeri menambah jumlah pelancong dengan mengadakan acara ‘Hot Air Balloon’ pada hari terakhir Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha untuk menambah lebih banyak produk pelancongan baharu di Klebang yang merupakan destinasi wajib bagi pelancong yang berkunjung di Melaka.

“Kita juga mengalu-alukan mana-mana pihak swasta yang mempunyai cadangan pembangunan pelancongan ataupun cadangan penganjuran program berskala besar di Melaka termasuklah di Klebang untuk mengemukakan permohonan tersebut kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1408
Kongsi :
Previous post Melaka bakal miliki kawasan teknologi masa depan
Next post Galak pengusaha taska, pusat jagaan tampil berdaftar
Ubah saiz-+=