Hospital wanita dan kanak-kanak Melaka dijangka siap 2030

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 11 Julai – Pembinaan hospital wanita dan kanak-kanak di Hospital Melaka akan bermula awal tahun depan dan dijangka siap pada 2030.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh, hospital berkenaan bakal menempatkan 746 katil dengan kos pembinaan RM700 juta, sekali gus dapat membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka.

Memandangkan pembinaan projek berkenaan telah lama diusul dan diluluskan, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan pembinaannya berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Dalam tempoh sekarang hingga 2025 kita mempunyai tempoh masa beberapa bulan untuk menyiapkan proses dokumentasi dan saya percaya Kerajaan Negeri akan membuat pemantauan dalam memastikan projek ini berjalan dan siap mengikut jadual.

“Sebenarnya, pengorbanan kita untuk pembinaan blok hospital baharu ini amat besar, di mana kita terpaksa mengorbankan kolej jururawat pertama negara yang mempunyai nilai sentimental cukup tinggi.

“Meskipun begitu, kita terpaksa meneruskan cadangan ini dan akan komited memastikan projek pembinaan hospital ini bermula selewat-lewatnya, awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem menjawab soalan lisan tambahan daripada Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, Kerajaan Negeri juga akan terus memohon kelulusan bagi pembinaan Hospital Hang Tuah Jaya (hospital berpakar) dengan sasaran kapasiti katil sehingga 500 unit.

Dalam pada itu, menjawab soalan lisan tambahan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-RIM) mengenai isu kekurangan doktor pakar di Melaka, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri akan meneruskan cadangan ‘Blue Ocean Strategy’ bagi menjalankan perkongsian pakar bersama doktor pakar dari hospital swasta di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post Melaka lancar aplikasi i-Cemas kurangkan kesesakan Hospital Melaka
Next post Melaka terima 7.7 juta pelancong setakat Jun
Ubah saiz-+=