Hospital pengajar UiTM Puncak Alam mula beroperasi 5 April
PUNCAK ALAM 23 Mac – Hospital Pengajar Universiti Teknologi MARA (HPUiTM) Puncak Alam di sini yang dibina dengan kos RM599 juta akan mula beroperasi secara berperingkat mulai 5 April depan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata bangunan hospital sepuluh tingkat yang dibina di atas tapak seluas 11.33 hektar sejak 11 April 2017 itu mempunyai kapasiti 400 katil; 98 klinik pakar; 17 dewan bedah; 17 wad, 16 mesin dialisis serta fasiliti pembelajaran yang dapat menampung sehingga 750 pelajar, pada satu-satu masa.
Noraini berkata hospital pengajar bukan sahaja dilihat sebagai pusat penyebaran ilmu perubatan, malah turut berfungsi sebagai hospital biasa yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta pada masa yang sama menjadi pencetus kepada usaha mewujudkan inovasi dalam bidang sains dan perubatan.
“Justeru, kerajaan berharap dengan adanya HPUiTM ini, ia akan dapat menambah akses masyarakat kepada perkhidmatan perubatan yang berkualiti terutamanya bagi kira-kira tiga juta populasi penduduk di kawasan Utara Selangor ini,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan Projek HPUiTM di sini hari ini.
Kemudahan lain yang turut disediakan di HPUiTM termasuk surau dengan kapasiti sehingga 180 orang; bangunan penginapan untuk doktor pelatih dan jururawat.
Beliau berkata di sekitar Puncak Alam sahaja Kementerian Pengajian Tinggi menganggarkan sebanyak 500,000 orang akan mendapat akses kepada kemudahan perubatan yang berkualiti tinggi di hospital pengajar tersebut.
“Difahamkan juga, dengan jumlah penduduk sekitar pada masa ini, UiTM mengunjurkan Pulangan Pelaburan (ROI) dalam perbelanjaan perubatan sama ada secara rawatan pesakit luar atau pesakit dalam di HPUiTM untuk tempoh 30 tahun, boleh mencecah sehingga RM56 bilion,” katanya.
Dalam isu berasingan, Noraini berkata kumpulan pensyarah dijangka akan diberi suntikan vaksin COVID-19 dalam fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
“Insya-Allah tidak lama lagi, semua pensyarah juga perlu mendaftar untuk tujuan tersebut di aplikasi MySejahtera,” katanya sambil menambah keutamaan akan diberikan kepada mereka yang berusia dan berisiko.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.