Hospital Melaka bertemu waris, perjelas kejadian tangan bayi bengkak
AYER KEROH 25 Julai – Perbincangan bersama waris kepada bayi berusia dua bulan yang tangannya didakwa membengkak selepas menerima rawatan di Hospital Melaka sudah diadakan bersama pihak hospital.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, perbincangan itu diadakan baru-baru ini bagi menerangkan prosedur yang dilakukan sepanjang rawatan bayi terbabit.
“Selain waris kepada bayi itu, perbincangan turut disertai doktor terlibat bagi menerangkan situasi sebenar.
“Kita sudah membuat penjelasan dan bayi itu kini stabil selain keadaan tangan yang bengkak juga turut surut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut beliau, pihaknya berharap hal ini dapat diselesaikan dengan baik selepas penjelasan diberikan membabitkan prosedur yang dijalankan.
Sebelum ini, Hee Sem mengarahkan Hospital Melaka menjalankan siasatan terperinci susulan kejadian tangan bayi berusia dua bulan bengkak dan bernanah ketika mendapatkan rawatan demam campak di hospital berkenaan.
Berita itu tular di media sosial selepas individu yang menggunakan nama Mohamad Izwan memuat naik hantaran di media sosial yang mendakwa tangan anak saudaranya itu membengkak selepas 11 hari mendapatkan rawatan kerana demam campak.
Dia mendakwa tangan bayi berkenaan membengkak dan bernanah selepas dicucuk jarum akibat rawatan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.