Hospital Medan Melaka sedia beroperasi
BUKIT PALAH 11 Ogos – Hospital Medan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) di Hospital Melaka (HM) sudah bersedia memulakan operasi.
Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) HM dalam satu kenyataan memaklumkan kesiapsiagaan hospital berkenaan telah diuji melalui proses ‘dry run’ yang diadakan bersama pelbagai agensi semalam.
Difahamkan, hospital medan yang dikelola warga kerja barisan hadapan ETD HM itu akan menempatkan pesakit COVID-19 tahap 3, 4 dan 5 yang tidak stabil bagi menerima rawatan perubatan kecemasan sebelum ditempatkan di wad-wad COVID-19 di hospital itu.
“Segala aspek keselamatan, tatacara perawatan dan sebagainya telah diperhalusi bersama pengarah HM dan pihak pihak berwajib bagi memastikan perawatan kepada pesakit dapat diberikan dengan terbaik dan cemerlang.
“Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Hospital Medan Negeri Melaka ini demi untuk memastikan pesakit dapat menerima rawatan dengan baik dan selesa,” kata kenyataan itu.
ETD turut memaklumkan proses kesiapsiagaan hospital berkenaan juga dipantau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka yang bertanggungjawab melakukan inspeksi aspek keselamatan sebelum ia beroperasi sepenuhnya.
“Aspek keselamatan secara menyeluruh adalah amat penting kerana ia melibatkan bukan sahaja keselamatan pesakit, malah kepada barisan hadapan ETD HM yang memberikan perubatan kecemasan 24 jam kepada pesakit di hospital medan ini,” tambah kenyataan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.