Hospital Medan ATM di Johor rawat 944 pesakit, kes sembuh 877 – Hishammuddin

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 7 Sept – Seramai 944 pesakit COVID-19 telah menerima rawatan di Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, sejak dibuka pada 21 Jun lalu.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi catatan di Facebook rasminya berkata, hospital berkenaan yang memasuki hari ke-79 pengoperasiannya hari ini dengan kapasiti 80 katil biasa dan empat katil unit rawatan rapi (ICU), turut merekodkan kes sembuh seramai 877 individu.

“Saya amat bangga dan menghargai kesungguhan anggota-anggota Tentera Darat Malaysia khususnya Kor Kesihatan Diraja yang sentiasa sanggup merisikokan diri serta bertugas sebilang masa demi membantu pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) perangi COVID-19.

“Semestinya usaha sama ATM dan KKM ini akan terus diperkukuh. Saya telah sebut baru-baru ini bahawa Hospital Medan akan segera ditambah di negeri-negeri yang memerlukan. ATM kini hanya tunggu lampu hijau KKM untuk diatur gerak,” katanya.

Pada 2 September lalu, Hishammuddin dilapor berkata ATM akan mendirikan Hospital Medan di lima negeri yang dikenal pasti berdepan penularan jangkitan harian COVID-19 yang tinggi ketika ini.

Lima negeri berkenaan ialah Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Hishammuddin pada masa sama, turut menegaskan ATM akan terus berusaha memerangi COVID-19, yang merupakan musuh negara demi nyawa dan kesejahteraan rakyat serta keselamatan tanah air.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

942
Kongsi :
Previous post SPR diarah laksana undi 18 menjelang Disember
Next post UTeM perkenalkan kursus bina pasukan secara dalam talian
Ubah saiz-+=