Hospital Jasin lakar sejarah terima sijil LEED
MELAKA 11 Jun – Hospital Jasin melakar sejarah apabila berjaya mendapat penarafan tertinggi (platinum) dalam pensijilan Kepimpinan dalam Tenaga dan Rekabentuk Alam Sekitar (LEED) yang dikeluarkan oleh Majlis Bangunan Hijau Amerika Syarikat (USGBC).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, lebih membanggakan apabila kejayaan itu adalah dalam kategori Operasi dan Penyelenggaraan Bangunan Sedia Ada Versi 4 iaitu yang pertama di dunia bagi bangunan hospital dan juga yang pertama di Malaysia bagi bangunan kerajaan.
“Kejayaan ini telah melakar sejarah bagi Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menerajui dunia bagi Fasiliti Hospital Hijau, selaras dengan usaha dunia menangani isu perubahan iklim dan kesihatan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya anugerah itu juga memberi keyakinan kepada golongan profesional antarabangsa bahawa Malaysia berada pada landasan yang betul terutamanya dalam urusan penyelenggaraan di bawah KKM.
“Justeru, rakyat tidak perlu bimbang akan mutu perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh KKM,” katanya.
Dr Adham berkata pensijilan LEED tersebut akan menjadi penanda aras kepada KKM untuk meluaskan pelaksanaan program penarafan bangunan hijau di fasiliti-fasiliti kesihatan KKM yang lain sebagai usaha menyokong komitmen kerajaan di peringkat global dalam mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan mendepani kesan perubahan iklim.
Malah, katanya, KKM juga telah menjadi contoh utama dalam sektor awam dan menjadi peneraju dalam melaksanakan strategi dan inisiatif lestari ke arah pensijilan bangunan hijau di negara ini.
“Kejayaan Hospital Jasin telah membuktikan usaha kerajaan dalam memastikan fasiliti kesihatan sentiasa berada dalam keadaan terbaik agar penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkesan dapat diberikan kepada rakyat terutamanya dalam situasi menangani pandemik COVID-19.
“Melalui pensijilan ini, hospital-hospital KKM diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam aspek pembangunan mampan dengan mengutamakan pematuhan piawaian dan pelaksanaan amalan hijau bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, sihat dan kondusif,” katanya.
Pelaksanaan amalan hijau dalam pengurusan fasiliti hospital jelasnya berupaya memberikan penjimatan tenaga yang optimum, mengurangkan kos utiliti dan belanja operasi hospital, menyediakan kualiti udara dalaman yang baik di samping meningkatkan prestasi dan keupayaan keseluruhan bangunan.
Katanya, penggunaan teknologi hijau dan produk mesra alam juga sentiasa diutamakan dan menjadi pilihan dalam melaksanakan inisiatif lestari di fasiliti kesihatan bagi memacu dan menyokong pertumbuhan hijau di negara ini.
Terdahulu, majlis anugerah oleh USBGC itu telah diadakan secara maya semalam dan KKM dipilih untuk menerima anugerah tersebut mewakili Asia Tenggara yang mengiktiraf kepimpinan teladan organisasi dalam bangunan hijau di bawah pensijilan LEED.
Pengiktirafan tersebut adalah susulan kejayaan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi yang mencapai penarafan sijil LEED Gold (kedua tertinggi) di bawah kategori sama tahun lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.