Hospital Besar baharu Melaka di Durian Tunggal
SERI NEGERI 25 Julai – Kerajaan negeri mencadangkan kawasan Durian Tunggal sebagai lokasi pembangunan Hospital Besar Melaka yang baharu pada masa akan datang.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kemudahan diatas tapak dicadangkan seluas 24 hektar itu dijangka dibina menjelang 2030 selepas Kompleks Rawatan Ibu dan Anak (KRIBA) siap.
Jelasnya, setakat ini kerajaan negeri memberi fokus kepada KRIBA di Kolej Kejururawatan Melaka yang dilengkapi 476 katil dan dijangka mula dibina pada 2025.
“Kerajaan negeri akan melaksanakan permohonan untuk mewujudkan Hospital Besar Melaka kepada kerajaan pusat dan cadangan itu akan diangkat selepas KRIBA siap dibina pada 2030.
“Apabila siap nanti, Hospital Melaka yang ada hari ini akan dijadikan Hospital Daerah Melaka Tengah,” katanya.
Beliau berkata, demikian pada sidang media Persidangan Ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, di sini, hari ini.
Menurutnya setakat ini kerajaan negeri sedaya upaya berusaha mengatasi kesesakan berlaku di Hospital Melaka dengan melaksanakan pelbagai pendekatan.
Antara langkah dijalankan adalah menempatkan pakar secara tetap di Hospital Alor Gajah dan Jasin berbanding pendekatan mengikut jadual mingguan sebelum ini.
Dr Muhamad Akmal berkata, selepas penempatan secara tetap pakar bedah, ortopedik, anestesi, patologi dan pelbagai kepakaran lain di dua hospital daerah berkenaan pesakit tidak lagi perlu ke Hospital Melaka.
“Setakat ini ada enam pakar di Jasin dan empat di Alor Gajah, jika pesakit dari Jasin yang ada temu janji dengan pakar tidak lagi perlu ke Hospital Melaka.
“Begitu juga pesakit di Alor Gajah, tidak lagi perlu ke Hospital Melaka, kerana sudah ada pakar di kedua-dua hospital berkenaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.