Hospital Alor Gajah akan beralih status kepada hospital pakar

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

ALOR GAJAH, 11 Feb — Hospital Alor Gajah berkemungkinan akan beralih status sebagai hospital pakar tahun ini, kata Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari.

Beliau berkata pihaknya sudah berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan peralihan status itu berpeluang direalisasikan pada tahun ini memandangkan masih ada beberapa perkara lagi yang perlu diperincikan.

“(Peralihan status) itu ialah sasaran kita dan saya yakin dalam tahun ini Hospital Alor Gajah akan jadi hospital pakar dan lebih banyak khidmat kesihatan akan ditawarkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Gangsa di sini hari ini.

Terdahulu, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada seorang penduduk di kampung itu. 

Sementara itu, beliau berkata Parlimen Alor Gajah akan memperkenalkan beberapa insentif kesihatan secara berfasa hujung bulan ini terutama melibatkan aspek penjagaan kesihatan merangkumi pemakanan dan kebajikan.

“Insentif ini juga tidak akan semata-mata melibatkan bantuan kewangan dan peralatan tetapi merangkumi khidmat nasihat bagaimana menjadikan warga Alor Gajah lebih sihat dan produktif. Kita juga akan menumpukan isu-isu berkaitan pemakanan seperti pemberian susu kepada anak-anak kerana ia penting bagi tumbesaran mereka,” katanya.

Selain itu katanya, projek Go Medic juga akan diperluas bagi membantu pesakit dalam pelbagai aspek terutamanya logistik. 

“Kita akan bantu untuk menghubungkan atau menjadi perantara antara klinik kesihatan, farmasi dan hospital dengan pesakit seperti pengambilan ubat-ubatan atau urusan pemeriksaan doktor.

“Sekiranya tidak dapat pergi ke pusat kesihatan tersebut, kita akan menghantar sukarelawan untuk memantau dan menjaga pesakit berkenaan,” katanya. 

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1879
Kongsi :
Previous post Gempa bumi Turkiye: Pasukan penyelamat Malaysia temukan enam mayat
Next post Kerajaan tegas lawan salah guna kuasa, rasuah
Ubah saiz-+=