‘Hormat hak dan pendirian UMNO’ – Mohd Rafiq

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

PAYA RUMPUT 9 Jan. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berpendirian  menghormati segala keputusan UMNO berhubung kerjasama politik di antara dua parti yang akan diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), 31 Januari depan.

Naib Presidennya Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, tiada sebab untuknya atau mana-mana pihak menidakkan hak parti yang berbeza fahaman, khasnya dalam menentukan hala tuju masing-masing.

“Saya fikir semua sedia maklum yang setiap keputusan hanya akan diputuskan pada 31 Januari nanti, jadi kita tunggulah keputusan yang rasmi dan muktamad. Kita sentiasa menghormati hak masing-masing dalam menentukan hala tuju parti mereka.

“Tapi dalam masa sama, Perikatan Nasional di Melaka sudah pun memperkukuh hubungan di antara BERSATU dan PAS yang mana kita telah merencana pelbagai program untuk membantu rakyat, khususnya menggembeleng tenaga turun ke bawah untuk menghulur bantuan tatkala rakyat terbeban dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Rendah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Dewan Serbaguna Taman Krubung Jaya, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai ketidakstabilan hubungan di antara BERSATU dan UMNO, Mohd Rafiq meminta pemimpin di Semenanjung Malaysia untuk mencontohi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meneruskan kerjasama politik di antara parti-parti terlibat, termasuklah PN dan Barisan Nasional (BN) Sabah sendiri.

“Dalam pada riuh cerita hubungan PN dan BN di semenanjung, hari ini, GRS telah menandatangani MoU di antara semua komponen parti kerajaan untuk terus mempertahankan mandat rakyat negeri ini selepas pilihan raya lalu.

“Jadi saya lihat kalau kita hendak menang besar dalam PRU15, saya yakin pertembungan dua penjuru adalah langkah terbaik untuk memastikan kemenangan PN dan BN bagi menghadapi PH, namun perpaduan yang kuat dan erat sesama parti perlulah diperhebat,” tambahnya.

Ditanya soal pendirian hampir kesemua bahagian UMNO di Melaka yang menolak kerjasama dengan BERSATU beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Melaka menegaskan gabungan PN di Melaka masih lagi kukuh.

Ujarnya, polemik politik yang berlaku ketika ini tidak menjejaskan perpaduan PN mahupun hubungan antara barisan Pengerusi Jawatankuasa di bawah kerajaan negeri.

“Hubungan kita masih baik dan kita belum buat keputusan apa-apa kerana saya fikir pilihan raya lambat lagi selain mengambil kira sentimen rakyat yang juga tidak mahu ia (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

“Jadi jujur saya beritahu belum ada rundingan yang khusus dengan mana-mana parti yang bergabung dengan PN yang mana kita tidak memberi tumpuan kepada rundingan, tetapi fokus utama kini adalah pada rakyat,” ujarnya lagi.

Views:

365
Kongsi :
Previous post Anak Melaka dipelawa lanjut pelajaran di KUIM
Next post Kerajaan rangka pelan pascabanjir baik pulih kediaman
Ubah saiz-+=