HOC: 7,165 rumah bernilai RM3.48 bilion terjual di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 Julai – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka membantu kerajaan negeri dengan mencatatkan transaksi pemilikan rumah sebanyak 7,165 unit rumah bernilai RM3.48 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, jumlah itu direkodkan menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 dan HOC 2020/2021 peringkat Negeri Melaka.

“Tahniah kepada REHDA Melaka sentiasa memberikan komitmen membantu kerajaan negeri menjayakan inisiatif pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“REHDA Melaka memikul tanggungjawab untuk menganjurkan Kempen Pameran Perumahan dan Hartanah secara konsisten sejak tahun 1999.

“Menerusi kempen HOC REHDA Melaka juga berjaya membantu kerajaan negeri mencatatkan transaksi pemilikan rumah sebanyak 7,165 unit rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Perumahan dan Hartanah Melaka 2022 di Pasar Raya Aeon Bandaraya di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom; Pengerusi Penganjur MAPEX 2022, Datuk Ngoh Chun How dan Pengerusi REHDA Melaka, Datuk Ng Choon Koon.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, ekspo berkenaan turut disertai PR1MA dan 22 pemaju perumahan swasta tempatan yang mempromosikan sebanyak 40 projek di Negeri Melaka.

“Ini merupakan satu platform terbaik kepada pembeli untuk memilih, membeli dan memiliki rumah dan hartanah idaman berdasarkan kemampuan dan cita rasa masing-masing.

“Saya harap ekspo MAPEX 2022 kali ini mencapai objektif yang disasarkan sekali gus memberi impak positif dalam merancakkan ekonomi sektor perumahan di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1148
Kongsi :
Previous post Polis kesan individu tularkan video disyaki terbabit rasuah
Next post Piuh penggemar mi kari
Ubah saiz-+=