Hilang RM24,400 akibat ditipu ‘Inspektor Aidil

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

REMBIA 31 Jan. – Seorang penulis artikel kerugian RM24,400 dari akaun Tabung Haji (TH) akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis semalam.

Wang berkenaan lesap selepas lelaki yang mendakwa sebagai ‘Inspektor Aidil’ kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang mengugut akan mengambil tindakan terhadap mangsa itu jika tidak menjelaskan hutang cukai sebanyak RM38,600.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa yang bekerja dari rumahnya di satu taman perumahan di Pengkalan, di sini, menerima panggilan daripada lelaki yang menggunakan talian 010-3882485.

“Lelaki itu mendakwa dia pegawai LHDN dan mangsa mempunyai hutang dengan agensi kerajaan itu.

“Lelaki itu menyambungkan talian kepada ‘Inspektor Aidi’ kononnya dari IPK Pahang yang mengarahkan mangsa mengaktifkan perbankan atas talian dan membuat pindahan wang dari akaun TH ke akaun sebuah bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu

Beliau berkata, akibat bimbang dikenakan tindakan undang-undang kerana mempunyai hutang dengan LHDN, mangsa memindahkan wang dari akaun TH ke akaun bank itu pada jam 1 petang semalam.

“Mangsa memberikan butiran, termasuk nombor pin akaun bank itu kepada suspek untuk semakan dan yakin sudah memberikan segala maklumat serta butiran yang diperlukan,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa mendapati wang dalam akaunnya berkurangan sebanyak RM24,400 dan mendapati ada transaksi wang berlaku tanpa pengetahuannya.

Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah selepas mengesyaki menjadi mangsa Macau Scam petang semalam.

Sehubungan itu, Arshad meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya jika menerima panggilan daripada sesiapa sahaja yang meminta butiran akaun bank.

Views:

1380
Kongsi :
Previous post Ketua Menteri sampai sumbangan
Next post Harimau kumbang jantan ‘galak’ musim PKP- Zoo Melaka
Ubah saiz-+=