Hilang bapa, mentua angkara COVID
KESIDANG 2 Sept – Kehilangan bapa dan mentua dalam tempoh seminggu akibat COVID-19, paling menyedihkan dalam hidup Juhari Ahmad Salleh, 45, dari Taman Rambai Utama, dekat sini.
Lebih menghibakan buat Juhari sekeluarga apabila tiga bulan sebelum itu, ibunya, Zabedah Yusof meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor.
Menurut Juhari, kira-kira 100 hari selepas kehilangan ibu, bapanya meninggal dunia di hospital yang sama selepas dimasukkan ke hospital selama dua minggu kerana positif virus COVID-19.
“Setelah lebih dua minggu bertarung melawan virus COVID-19, bapa akhirnya bebas virus itu dan sewaktu menunggu untuk masuk ke wad biasa, bapa menghembuskan nafasnya terakhir ketika kami semua sedang kuarantin di rumah kerana kontak rapat dengan arwah bapa.
“Saya tidak menyangka akhirnya bapa pergi juga walaupun sebelum itu sudah bebas virus COVID-19, namun kami reda dengan ketentuan Ilahi dan takdir.
“Alhamdulilah kami semua bebas COVID-19 dan bolehlah ahli keluarga menguruskan urusan pengebumian jenazah bapa,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).
Juhari yang bertugas sebagai Setiausaha JAPERUN Kesidang sejak lebih setahun itu berkata, kali terakhir dia menemui arwah bapanya itu ketika mengunjunginya di Klang seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan iaitu sekitar April lalu.
Menurutnya, lebih dua minggu selepas kehilangan bapanya, sekali lagi keluarga mereka diuji dengan perkhabaran sedih apabila bapa mentua, Kasim Ibrahim meninggal dunia di Hospital Melaka juga akibat bahana COVID-19.
Katanya, kira-kira 20 hari dimasukkan ke hospital, bapa mentuanya didapati bebas virus namun terpaksa ditahan di hospital kerana faktor kesihatan yang tidak menentu.
“Seminggu selepas itu dia dibenarkan keluar hospital tetapi seminggu kemudian, arwah mengadu semput dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Namun, keesokkan harinya arwah meninggal dunia kerana kerosakan paru-paru akibat kesan serangan virus COVID-19,” katanya.
Kata Juhari, sejak kehilangan insan tersayang dalam tempoh waktu yang singkat itu, mereka seramai tujuh beradik akan bergilir-gilir pada setiap minggu menganjurkan majlis tahlil dan bacaan Yassin secara atas talian buat arwah ibu, bapa dan mentuanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.