Sorting by

×

HIDUPKAN NOSTALGIA TAHUN 1956 PADA 20 FEBRUARI INI

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR 18 Februari – Orang ramai bercadang untuk hadir memeriahkan Program Rapat Umum Bahtera Merdeka sempena cuti umum Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Negara 20 Februari ini, diminta untuk menggayakan pakaian klasik era 50-an.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata tujuan menggayakan pakaian klasik era 50-an tersebut adalah bagi mengenang peristiwa pengisytiharan tarikh kemerdekaan negara oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1956.

“Sempena Program Rapat Umum Bahtera Merdeka yang Kerajaan Negeri akan bawa pada malam 20 Februari ini, saya menjemput orang ramai seluruh Melaka dan Malaysia amnya, hadir berpakaian nostalgia tahun 1956.

“Bagi lelaki, boleh berpakaian baju putih serta seluar hitam, sementara itu wanita pula menggunakan kain pelikat sebagai tudung sepeti digayakan oleh kaum hawa pada zaman dulu. Bersama-sama kita mengimbau kembali bagaimana waktu ketika itu datuk nenek kita merasakan keriangan sewaktu Hari Pengisytiharan Kemerdekaan di bumi Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi temubual berkenaan promosi sambutan Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan 20 Februari 2025 di program Malaysia Hari Ini (MHI), di Balai Berita Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) di Jalan Riong, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad serta Ketua Pegawai Operasi (COO) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

98
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU JADI LOKASI PELANCARAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026
Next post JANGAN LEPASKAN PELUANG MASUK PERCUMA KE 13 DESTINASI PELANCONGAN – KM