Hidupkan Balai Adat Perpatih, jadikan pusat rujukan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 14 Jun – Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mencadangkan Balai Adat Perpatih Naning di Alor Gajah, dihidupkan dan dijadikan sebagai pusat rujukan.

Ab Rauf Berkata, hasrat dan tujuan untuk menghidupkan semula Balai Adat perpatih Naning juga sudah dimaklumkan kepada Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Katanya, apabila dilaksanakan nanti balai tersebut akan menjadi pusat rujukan bagi pengamal adat seluruh negara.

“Proses menghidupkan semula balai adat ini akan mengambil masa setahun dan kita sedang membuat kajian menyeluruh supaya adat perpatih ini dapat dilindungi. Ia (adat perpatih) mestilah diberi perlindungan untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

“Adat perpatih ini banyak seni dan pembudayaan kepada keluarga sehinggalah pembentukan adat ini banyak bersendikan Islam,”katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Puisi Malaysia (HPM) di Bilik Tun Sri Lanang, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Penaung Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Tan Sri Dr. Hamad Kama Piah Che Othman; Ahli Dewan Negara, Senator Prof. Datuk Seri Awang Sariyan dan Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim @Wanrazuhar.

Ab Rauf berkata, Melaka merupakan negeri yang mempunyai dua budaya iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung.

“Kedua-dua adat ini perlu dilindungi dan usaha melindungi adat tersebut dimulakan dengan menghidupkan semula balai adat.

“Melaka sebagai sebuah negeri yang terkenal pada suatu masa dahulu sebagai gedung ilmu dan dengan menghidupkan semula balai adat ini, kita mahu ia menjadi pusat rujukan, sekali gus menjadi wadah penerus kepada generasi mendatang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1663
Kongsi :
Previous post Sambutan luar biasa rangsang hasil filem lebih baik
Next post HPM peringkat kebangsaan himpun 200 pemuisi seluruh negara
Ubah saiz-+=