Sorting by

×

‘HIDUP NI KERAS BEB’, KATA KETUA MENTERI KEPADA KETUA PEMBANGKANG

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SERI NEGERI 31 Disember – Bait-bait kata ‘hidup ini keras beb’ mewarnai hari terakhir Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini, apabila ayat sohor kini itu diungkapkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Kata-kata itu disampaikan Ketua Menteri kepada Ketua Pembangkang, Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) dalam ucapan penggulungan beliau.

Jelas Ketua Menteri, dalam membangunkan sesebuah negeri, sesuatu dasar perlu diwujudkan dan ia bukanlah akan berlaku dalam sekelip mata seperti mana yang diharapkan pihak pembangkang.

Tambah beliau, pentadbiran sekarang mewarisi kepimpinan dua orang Ketua Menteri yang masih berada di dalam Dewan Undangan Negeri yang mulia iaitu Adly Zahari (PH-Bukit Katil) dan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) di mana kedua-duanya turut memahami bukan mudah untuk menguruskan sesebuah kerajaan.

“Walaupun mewarisi pentadbiran terdahulu, namun pentadbiran saya komited membangunkan semula Melaka mengikut suasana yang sesuai pada waktu ini demi untuk rakyat Melaka.

“Ditanya (Bemban) mana datang duit? Mungkin disebabkan YB Bemban tidak pernah duduk dalam kerajaan dan tidak tahu sebenarnya Melaka berada dalam kawasan tapak warisan dunia UNESCO dan segala program pelancongan yang dibuat adalah menerusi peruntukan tersebut sedangkan Kerajaan Negeri tidak pernah keluar duit,” katanya pada ucapan penggulungan.

Ab Rauf bagaimanapun memuji Ketua Pembangkang itu sebagai seorang wakil rakyat yang mempunyai pemikiran yang baik.

Namun, menurut beliau, sebagai wakil rakyat, Dr. Mohd Yadzil tidak perlu berfikir ‘di luar otak’, sehinggakan soalan-soalan yang ditanya tidak mempunyai asas.

“Yang Berhormat perlu tahu yang mana kanan, yang mana kiri. Yang mana (peruntukan) Kerajaan Negeri dan yang mana Kerajaan Persekutuan.

“Saya bukan mahu mengajar, tapi Doktor (Dr. Mohd Yadzil) perlulah berfikir di luar kotak dan bukannya di luar otak sehinggakan ramai tertanya-tanya mengapa soalan yang ditanya tidak mempunyai asas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

297
Kongsi :
Previous post PERUNTUKAN ‘RAKYAT DIGITAL’ MELAKA MENINGKAT
Next post LAKSANA PELBAGAI INISIATIF, PROJEK UNTUK KESELESAAN NELAYAN
Ubah saiz-+=