Sorting by

×

Hidangan Melaka pikat selera delegasi ASEAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DUYONG 16 Jun – Pelbagai gelagat mencuit hati dapat disaksikan selepas 19 pelawat asing yang juga delegasi mengikuti Bengkel Kelestarian Pembungkusan Makanan Warisan ASEAN dan Pengkomersilan Untuk Pasaran Dunia dijamu hidangan tradisional Negeri Melaka.

Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara Jabatan Warisan Negara, Dr. Eyo Leng Yan berkata, bengkel itu membabitkan peserta mewakili sembilan negara ASEAN seperti Kemboja, Myanmar, Thailand, Vietnam, Filipina, Brunei dan Singapura.

“Pada hari terakhir bengkel, kita sediakan makanan tradisi Melayu seperti Asam Pedas, kobis masak lemak, ayam goreng berempah, cencalok dan sambal belacan.

“Ramai yang teruja selepas menjamah hidangan disediakan, mereka puji masakan kita enak dan sukar untuk dilupakan,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas Program Demonstrasi Makanan Warisan di Balai Adat Perkampungan Hang Tuah, di sini, semalam yang turut dihadiri Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr. Muhammad Shahrim Karim.

Katanya, peserta mula mengikuti bengkel selama tiga hari bermula 13 Jun di Kuala Lumpur dan dibawa ke Melaka bagi tujuan lawatan serta menikmati santapan Sajian Silam Makan Beradat orang Melayu yang diuruskan oleh Institut Warisan Melaka (INSWA).

photo1686820595
SAJIAN Silam Makan Beradat pada Program Demonstrasi Makanan Warisan di Balai Adat Perkampungan Hang Tuah, Duyong, Melaka. Foto MR AZLI

Leng Yan berkata, peserta juga diberi pendedahan mengenai pemakaian kain pelikat dan kain batik.

“Demonstrasi mencanting Melaka juga diadakan. Selain itu peserta juga dijamu dodol, cakar ayam, inang-inang dan kuih bakar.

“Kita beri peserta pendedahan untuk merasa semua makanan tradisi ini, sambil menjamu selesa mereka dihiburkan dengan tarian kebudayaan dan muzik Melayu artis INSWA,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1431
Kongsi :
Previous post Kompleks Falak Al-Khawarizmi kongsi kepakaran ilmu astronomi
Next post Polis P.Pinang tahan 38 along
Ubah saiz-+=