HIASAN TAHUN BAHARU CINA GAMIT KUNJUNGAN ORANG RAMAI
AYER KEROH 19 Januari – Lebih 350 tanglung pelbagai bentuk dan warna menghiasi perkarangan Balai Raya Taman Bukit Melaka, di sini.
Malah lokasi sekitar turut dipenuhi lampu hiasan warna-warni yang pastinya menceriakan suasana pada waktu malam.
Lebih menarik di beberapa sudut kawasan itu turut diletakkan pondok kecil, tempat memasak serta permainan untuk kanak-kanak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee berkata, inisiatif meneruskan hiasan sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini di perkarangan balai raya berkenaan susulan sambutan diterima amat menggalakkan pada penganjuran pertama tahun lalu.
Katanya, ketika penganjuran tahun lalu bukan sahaja masyarakat Tionghoa malah pelbagai bangsa dan peringkat usia datang untuk melihat serta merasai suasana sekitar yang dihias cantik.
“Untuk kali ini kira-kira 350 tanglung digantung sepanjang laluan termasuk yang diletakkan di sekitar kawasan ini. Hiasan-hiasan yang diguna ini ada diantaranya barangan terpakai.
“Ianya dilakukan sendiri oleh kami termasuk bantuan komuniti setempat dan hiasan ini akan berterusan sehingga Chap Goh Mei,” katanya.
Kerk yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri berkata, hiasan Sambutan Tahun Baharu Cina itu bukan sahaja untuk menyemarakkan lagi perayaan itu malah menjadi medan berkumpul masyarakat berbilang bangsa.
“Seperti tahun lalu secara purata setiap malam boleh dikatakan kira-kira 400 pengunjung hadir yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, peringkat usia dan bangsa.
“Ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan komuniti dan masyarakat sekaligus mewujudkan suasana harmoni,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.