Sorting by

×

Hiasan 2,000 pelita di Parit Gantong jadi tumpuan ‘YouTuber’, ‘influencer’

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

SUNGAI RAMBAI 22 April – Suasana meriah di Kampung Parit Gantong, di sini, yang diterangi cahaya pelita menarik perhatian ‘YouTuber’ dan ‘influencer’ (pempengaruh media sosial) yang singgah untuk mengambil gambar dan video bagi kandungan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

‘Mood’ Aidilfitri di kampung berkenaan juga menarik kunjungan ibu bapa yang membawa keluaga termasuk kanak-anak untuk bergambar.

Ab Shukor

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Rambai Timur Ab Shukor Atan berkata, pihaknya mengalu-alukan kunjungan pelawat luar yang ingin merasai kemeriahan Aidilfitri yang sebelum ini disambut secara ala kadar berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia memberitahu program itu adalah anjuran bersama JPKK Sungai Rambai Timur dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“Sebenarnya kami bergotong-royong menyiapkan hiasan pelita ini untuk menyambut anak kampung tinggal di perantauan yang mungkin sudah lama tidak pulang. Tidak sangka ia turut menarik perhatian pelawat luar.

“Semua ini adalah sebahagian daripada persediaan kami yang turut mengambil bahagian dalam Festival Kuih Tradisional dan Pelita Raya Aidilfitri Melaka 2022,” katanya ketika dihubungi hari ini.

HIASAN berbentuk menara berkembar Petronas

Ab Shukor berkata, penduduk bergotong-royong termasuk menebang buluh untuk menyiapkan dan memasang lebih 2,000 jenis pelita berkenaan sejak 12 April lalu.

Katanya, selain pelbagai jenis pelita pihaknya turut membina dua pintu gerbang menggunakan buluh dan besi yang tertera ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri, Selamat Pulang Anak Perantau’ dengan ketinggian hampir empat meter.

“Penduduk turut menghias halaman rumah menggunakan kreativiti masing-masing. Antara menarik adalah hiasan berbentuk menara berkembar Petronas.

“Selain pelita buluh kami turut menghias sekitar kampung ini menggunakan lampu kelip-kelip, alhamdulillah setakat ini semua perancangan berjalan lancar,” katanya.

PENDUDUK menyiapkan hiasan pelita

Menurutnya, setakat ini pihaknya membelanjakan RM3,000 untuk menyiapkan hiasan pelita manakala RM200 diperuntukan setiap malam untuk membeli diesel.

“Bagi saya apa yang menarik adalah usaha kami lakukan ini mengeratkan lagi hubungan antara penduduk. Ketika proses memasang pelita dilakukan ramai yang hantar kuih, makanan dan minuman.

“Ini adalah satu perkembangan yang amat bagus, kemeriahan 1 Syawal semakin dirasakan di kampung ini,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1946
Kongsi :
Previous post Guru rugi RM45,000 diperdaya pelaburan menerusi Telegram
Next post Agong dan Permaisuri tiba di Melaka
Ubah saiz-+=