HERO SELAMATKAN DUA REMAJA HAMPIR LEMAS
BANDARAYA MELAKA 20 September – “Terima kasih banyak-banyak, balik kampung dapat berbakti,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad Nazri Amil.
Terdahulu Ketua Menteri, meluangkan masa melawat Ahmad Nazri, 26, ‘hero’ yang menyelamat dua remaja perempuan hampir lepas ketika mandi di Sungai Kertah, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Ahad lalu.
Ketika ditemui, Ahmad Nazri yang bekerja di Cheras, berkata, dia yang pulang ke kampung untuk membantu ibunya langsung tidak menyangka akan berdepan detik mencemaskan itu.
Menurut Ahmad Nazri, dia yang ketika itu berada di chalet milik keluarganya, terus bergegas ke pantai selepas dimaklumkan mengenai kejadian pengunjung lemas.
“Saya nampak mangsa sudah tenggelam, hanya nampak tangan mereka terkapai-kapai, atas niat mahu membantu saya yakinkan diri lalu terjun menuju ke arah kedua-dua mangsa.
“Sebaik menghampiri mereka, saya minta kedua-dua mangsa untuk apungkan badan selain berpesan supaya tidak berpaut kepada saya atau kami bertiga akan tenggelam ke dasar,” katanya yang ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Menteri di Hospital Melaka, petang tadi.
Meskipun berjaya membantu kedua-dua mangsa, dirinya sendiri hampir lemas apabila secara tiba-tiba ditarik arus kuat kerana kejadian berlaku ketika ombak besar selain air sedang pasang.
“Badan sudah lemah, saya tidak mampu untuk berenang ke darat, apa yang terdaya ketika itu cuma apungkan diri dan pastikan tidak tenggelam, mujur tidak lama kemudian saya diselamatkan pemandu ‘banana boat’.
“Mungkin silap kerana saya memakai seluar ‘jeans’ sekiranya saya tanggalkan seluar mungkin boleh berenang sampai ke tepi. Selepas diselamatkan dan dibawa ke pantai saya tiba-tiba muntah sebelum dibawa ke Hospital Alor Gajah.
“Awalnya saya ingtkan hanya tertelan banyak air ketika selamat mangsa tetapi tidak sangka terkena jangkitan kencing tikus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.