Henti percaturan wakil rakyat, kembalikan mandat rakyat- Ahmad
PENGKALAN BATU 17 Okt. – UMNO memerlukan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti bagi mengembalikan mandat rakyat dan memastikan kestabilan pentadbirannya.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan hanya kemenangan dengan majoriti besar dapat menghentikan mandat ‘percaturan wakil rakyat’ kepada ‘mandat rakyat’.
Katanya, percaturan wakil rakyat bukanlah mandat sebenar dalam organisasi demokrasi berparlimen di negara ini, sebaliknya keputusan yang ditentukan rakyat dalam pilihan raya.
“Jika kita memerintah dengan menang besar, kita stabil. Jika menang kecil, kita tidak stabil. Sebab itu kita perlu tukar dengan menghentikan mandat percaturan wakil rakyat kepada mandat rakyat.
“Percaturan wakil rakyat bukanlah mandat sebenar dalam satu-satu demokrasi berparlimen terutama di negara kita ini, paling mujarab adalah mandat sebenar rakyat yang perlu dikembalikan dlm PRN yang akan diumumkan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam lawatan kerja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mustafa Musa, Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, hanya dengan mandat yang kukuh daripada rakyat akan memberi kesan terhadap kestabilan dalam pentadbiran dan ekonomi sesebuah negeri dan negara dalam tempoh jangka masa panjang.
“Jika politik dan pentadbiran tidak stabil, ini akan menyebabkan kesukaran mentadbir dan kesukaran juga bagi rakyat, (kesukaran) bagi pelabur, malah semua pihak kalau kita tidak mencapai kestabilan.
“Maksud saya tidak mencapai kestabilan itu ialah perubahan pentadbiran, perubahan dalam struktur politik sama ada di negeri atau negara ia perlu dihentikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.