Helpdesk MySejahtera secara fizikal dibuka Sabtu ini
PUTRAJAYA, 17 Feb – Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka helpdesk MySejahtera secara fizikal di beberapa lokasi terpilih bagi membantu menyelesaikan isu berbangkit berhubung aplikasi tersebut.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata helpdesk MySejahtera fizikal yang pertama akan dibuka di pusat pemberian vaksin (PPV) World Trade Centre, Kuala Lumpur Sabtu ini dan diikuti dengan pembukaan helpdesk fizikal di PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 26 Feb depan.
“Jadi orang ramai yang ada masalah dengan sijil vaksin dan sebagainya boleh pergi ke helpdesk fizikal ini untuk selesaikan masalah mereka.
“Helpdesk maya kita teruskan tetapi saya dapat aduan ada yang tunggu lama untuk sijil vaksin dan sebagainya (tapi) masih belum diselesaikan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.
Beliau berkata KKM akan memperluas kemudahan helpdesk fizikal itu ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat dan akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Khairy berkata satu pengumuman mengenai protokol isolasi kontak rapat akan dibuat pada minggu hadapan.
Beliau berkata ini selari dengan protokol diamalkan pekerja kesihatan di bawah KKM yang mana mereka menjadi kontak rapat dan tidak bergejala, tidak perlu menjalani kuarantin sebaliknya hanya perlu buat ujian kendiri COVID-19 pada hari-hari tertentu.
Khairy berkata satu pekeliling sudah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa lepas (15 Feb) untuk pekerja-pekerja kesihatan KKM.
“Kita mungkin akan guna pakai protokol sama apabila kita rasa sudah boleh melaksana protokol baharu ini untuk orang ramai.
“Kontak rapat sekarang sangat kerap berlaku sebab kes meningkat dan apabila ini berlaku, gangguan kepada ekonomi, pengurusan pekerjaan dan sebagainya sangat ketara,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata bermula esok bilangan kes harian COVID-19 tidak akan diumumkan pada petang hari tersebut sebaliknya akan diumumkan pada 10 pagi keesokan harinya bersama data-data lain seperti jumlah kemasukan ke hospital, bilangan kematian dan sebagainya.
“Ini bermakna bermula esok petang, tiada laporan bilangan kes harian COVID-19 sebaliknya data pada Jumaat akan diumumkan pada Sabtu pagi.
“Ini supaya kita dapat baca data kes harian bersama data-data lain seperti kemasukan ke hospital dan sebagainya untuk mengurangkan fear factor kes harian setiap hari, dan supaya kita secara perlahan-lahan mendidik masyarakat daripada hanya melihat kes harian kepada angka-angka lain yang memberi gambaran lebih jelas dan teliti tentang keadaan sebenar,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.