Sorting by

×

Helikopter terhempas, lima individu selamat

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR 24 Mac. – Dua cedera manakala tiga lagi dilaporkan selamat dalam nahas sebuah helikopter jenis H125 yang terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang pagi tadi.

Kejadian berlaku pada 9.18 pagi, dengan lima individu yang berada dalam helikopter itu adalah juruterbang dan penolong juruterbang serta tiga penumpang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.47 pagi tadi dan segera ke lokasi kejadian.

Katanya seorang mangsa patah kaki dan cedera di kepala manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kaki.

ANGGOTA EMRS bomba memberi rawatan kecemasan kepada seorang mangsa di tempat kejadian. Foto kredit JBPM.

“Tiada kebakaran dikesan pada helikopter itu dan kesemua mangsa dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, media sedang ‘berkampung’ di luar pagar landasan LTSAAS bagi mendapat perkembangan terkini mengenai insiden helikopter terhempas itu.

Difahamkan helikopter yang terhempas itu masih berada di dalam kawasan LTSAAS.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, helikopter berkenaan terhempas di dalam kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 9.18 pagi tadi.

Katanya semua penumpang dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara sedang menyiasat punca kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1774
Kongsi :
Previous post COVID-19: Labuan catat kadar kebolehjangkitan tertinggi
Next post PPN Selangor pemegang saham nafas tertinggi
Ubah saiz-+=