Sorting by

×

Helikopter MD530G gegar ruang udara Gemas

Masa Membaca:2 Minit, 43 Saat

TAMPIN, 21 Jun – Ruang udara Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin Gemas digegarkan dengan pertunjukan aset baharu Tentera Darat Malaysia (TDM) helikopter MD530G bersempena Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022.

Helikopter tempur buatan Amerika Syarikat itu dilengkapi sistem persenjataan seperti pelancar roket 70 milimeter (mm) dan gatling gun 7.62mm serta mesingan berat 12.7 mm.

Pesawat MD530G berperanan sebagai helikopter tempur ringan dengan kemampuan menggempur kenderaan perisai ringan dan trup infantri pada jarak 500 meter hingga tujuh kilometer selain melaksanakan tugas tinjauan udara.

Turut hadir menyaksikan pertunjukan itu Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Segmen tembakan LKT 2022 berlangsung hampir dua jam bermula 10 pagi turut mempertontonkan pelaksanaan latihan ketenteraan dan kuasa tembakan melibatkan aset Infantri, Mekanize, Armor, Artileri, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Pesawat Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pertunjukan kali ini melibatkan 2,300 pegawai dan anggota daripada pelbagai kepakaran serta 644 pelbagai jenis kenderaan tempur, kenderaan sokongan dan sistem persenjataan termasuk PT 91M PENDEKAR, AV8 Gempita, AV 4 Lipan Bara, ACV 300 Adnan serta Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV).

LKT kali ini berupaya mempamerkan atur gerak dan keupayaan pasukan tempur dalam operasi ketumbukan 3 Divisyen selaku Divisyen Gabungan Penggempur serta memberi pendedahan kepada penuntut Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT).

Sementara aset persenjataan pula merangkumi persenjataan kecil hingga meriam berkaliber besar dan roket seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGM) INGWE, BAKTAR SHIKAN, Mortar 120MM dan 81MM serta Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40MM).

Turut dilibatkan ialah helikopter dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Helikopter Super Lynx dan AS555 Fennec dari TLDM, Helikopter EC 725 dari TUDM dan Helikopter Agusta A109 LOH.

Manakala dalam segmen tembakan itu turut menunjukkan keupayaan Tactical Display Air Support (CAS) bagi pesawat TUDM dalam latihan ini dipertontonkan kepada para penuntut MTAT yang melibatkan aset-aset pesawat pejuang iaitu FA 18 D Hornet dan BAE Hawk 208.

Sementara itu, Hishammuddin berkata beliau berbangga dapat melihat aksi helikopter MD530G telah mula dimanfaatkan dan diuji keupayaannya dalam LKT tahun ini.

“Saya dapat melihat sendiri aset-aset diperoleh dan begitu bangga menyaksikan helikopter MD530G. Sebelum ini, orang kata (aset itu) tiada, tetapi hari ini ia ada dan telah beroperasi. Isu mengenainya dapat diselesaikan dan ia juga telah diterima oleh pengguna yang sangat memerlukannya iaitu PUTD,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan LKT 2022 di Kem Syed Sirajuddin, Gemas di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi pengujian ini, ATM khususnya TDM berpeluang menilai sebarang ruang penambahbaikan bagi meningkatkan lagi keupayaan aset mereka pada masa akan datang.

Ditanya sama ada kerajaan akan membeli tambahan helikopter tersebut daripada enam yang sedia ada ketika ini, Hishammuddin memberitahu, ia bergantung kepada kewangan negara.

“Kita akan lihat juga, apa ancaman yang kita hadapi, kalau ancaman adalah di Lahad Datu, berdepan dengan penculik-penculik, tidak perlu dengan helikopter penyerang seperti Apache dan Tiger.

“MD530G sudah mencukupi asalkan dilengkapi dengan senjata sesuai. Ia kini bukan sahaja boleh terbang tetapi dilengkapkan dengan senjata untuk berdepan ancaman tertentu,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1400
Kongsi :
Previous post ICQS tenang, tidak semeriah sebelum pandemik COVID-19
Next post Ini bukan pandemik terakhir, sistem kesihatan diperkukuh – Khairy
Ubah saiz-+=