Helikopter bomba hantar 21 tan makanan ke perkampungan Orang Asli
GUA MUSANG, 25 Disember – Sejumlah 21 tan bantuan bekalan makanan untuk 1,400 keluarga masyarakat Orang Asli mula dihantar ke beberapa perkampungan mereka di sini menggunakan helikopter Mi-17-IV milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Bantuan dihantar ke perkampungan Orang Asli termasuk di Pos Gob, Pos Belatim, Pos Bihai, Pos Balar dan kampung sekitar menggunakan helikopter susulan lokasi terlibat terputus hubungan kerana laluan balak rosak teruk akibat hujan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Ab Aziz Yusoff berkata perkhidmatan Unit Udara JBPM Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang diperlukan kerana tiada jalan darat yang boleh digunakan untuk memasuki perkampungan terlibat.
“Apabila terputus jalan perhubungan, masyarakat Orang Asli kehabisan bekalan makanan kerana tanaman ubi juga tidak menjadi akibat kehadiran gajah di tempat mereka.
“Hari ini kita akan mulakan penghantar ke perkampungan yang paling jauh dan sukar iaitu Kampung Gawin yang melibatkan 43 keluarga dan seterusnya ke Kampung Gob yang mempunyai 144 keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di Padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang, di sini hari ini.
Ab Aziz berkata sekiranya cuaca baik penghantaran akan diteruskan ke Kampung Simpor dan Kampung Jader yang secara keseluruhan mempunyai 232 keluarga yang terjejas.
“Diharap dengan bantuan bekalan makanan antaranya beras, gula, biskut, sardin dan tepung gandum ini dapat menampung keperluan mereka sementara menunggu keadaan cuaca bertambah baik,” katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguatkuasa Bomba Mohd Azuna Mohamed Sabri berkata kesemua kru penerbangan yang menghantar bantuan makanan tersebut, terlibat dengan bantuan banjir di Wakaf Tapai, Terengganu, sejak seminggu lepas sebelum tiba di Gua Musang bagi meneruskan bantuan di daerah ini.
“Penerbangan melibatkan sembilan orang kru dan kami akan menghantar 21 tan bekalan ke perkampungan Orang Asli. Penghantaran akan dilaksanakan sekurang-kurangnya lima hari untuk sampai ke semua tempat yang terlibat,
“Kalau ikutkan kita bermula semalam tetapi disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan kita terpaksa melakukan penerbangan hari ini,” katanya.
–BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.