HDC, MISDEC jalin kerjasama perkukuh industri hala Melaka
BACHANG 26 Mac – Kerjasama strategik Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC) mampu memperkukuh industri halal di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi Melaka pada masa akan datang.
“Bukan itu saja, kerjasama ini akan menambah bilangan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri halal yang mencecah hampir USD tiga trilion setahun.
“Inisiatif HDC dalam meningkatkan peluang pekerjaan sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam pembangunan modal insan,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di MISDEC hari ini.
MoU itu turut ditandatangani bersama agensi seperti kerajaan negeri diwakili Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), HDC, Universiti Tun Abdul Razak dan Gerbang Alaf Sdn. Bhd.
Jelas Sulaiman, kredibiliti HDC dalam bidang pembangunan latihan industri halal berjaya melahirkan lebih 60,000 kakitangan industri halal yang mahir sejak 2007.
“Tahun ini saya dimaklumkan fokus HDC adalah penempatan pekerjaan bagi golongan terlatih untuk permintaan lebih daripada 8,000 syarikat halal dari dalam dan luar negara.
“Selain menyediakan latihan industri halal, HDC menawarkan kepakaran dalam memudah cara bagi pemain industri untuk mengorak langkah ke dalam pasaran halal.
“Ia melalui perkhidmatan konsultansi dan nasihat pakar industri, khidmat pemadanan perniagaan serta perkhidmatan Platform Bersepadu Halal (HIP),” katanya lagi.
Sulaiman yakin inisiatif itu juga menyokong Flagship ke-5 iaitu Melaka Negeri Usahawan di dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035).
“MISDEC akan menjalankan dua program baharu untuk tahun ini iaitu Diploma Kemahiran Malaysia Dalam Mekatronik dan Program Aperantis Halal untuk masyarakat Melaka khususnya dan Malaysia amnya.
“Saya percaya, program baharu ini peluang keemasan buat generasi muda melanjutkan pelajaran terutamanya dalam bidang teknikal,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hasan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri, Datuk Salhah Salleh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.