Sorting by

×

HAZIQ ROSEBI DIANGKAT IKON SENI PENGKALAN BATU

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PENGKALAN BATU 24 Februari – Penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi sebuah program realiti popular Hazwan Haziq Rosebi, 37, tidak menyangka perjalanan seninya mendapat perhatian, sekali gus terpilih sebagai penerima Anugerah Ikon Seni Pengkalan Batu.

Lebih popular dengan panggilan Haziq Rosebi, dia memulakan kerjaya seninya pada 2006 dan terus melebarkan sayap serta mencipta nama tersendiri dalam genre lagu asli.

Menurut Haziq Rosebi, anugerah diterima itu merupakan penghargaan buat dirinya dan amat berterima kasih khususnya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin serta Kerajaan Negeri.

“Jujurnya saya amat berbesar hati serta terkejut dengan penganugerahaan ini, alhamdulillah rezeki saya.

“Anugerah ini juga adalah amanah untuk saya pikul kerana kepercayaan sudah diberikan dan saya perlu menggalasnya dengan sebaiknya agar dapat menjadi contoh terbaik,” katanya.

Pelantun lagu Lemak Manis itu ditemui selepas menerima Anugerah Ikon Seni Pengkalan Batu yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dengan diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di Perkarangan Melaka Sentral, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Dia yang berasal dari Bukit Piatu, menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dan membantu Kerajaan Negeri mempromosikan Melaka yang bakal menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara pelancongan termasuk Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) September ini

“Dengan anugerah ini ia secara tidak langsung memangkin semangat saya untuk terus bergiat aktif dalam industri seni khususnya mengangkat irama asli.

“Saya sedia membantu Kerajaan Negeri untuk mempromosikan negeri ini kerana seperti yang semua tahu Tahun Melawat Melaka dilanjutkan hingga 2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

123
Kongsi :
Previous post DUA MAUT DALAM KEBAKARAN BILIK TRANSFORMER KILANG DI TANGGA BATU
Next post UJIAN SARINGAN KANSER KOLOREKTAL