Hatten Land teroka sektor perlombongan mata wang kripto, tenaga solar di Melaka
AYER KEROH 16 Sept. – Hatten Land Ltd Singapura merancang untuk meneroka perlombongan mata wang kripto dan tenaga solar di Melaka bagi mengukuhkan lagi pelaburannya di negeri bersejarah itu.
Menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘tonggak penting’ bagi kumpulan itu, Hatten Land berpandangan ia sejajar dengan rancangan transformasi digitalnya untuk meningkatkan nilai pemegang sahamnya secara lestari.
Hatten Land berkata, anak syarikatnya yang dimiliki sepenuhnya Hatten Technology dan rakannya Singapura Myanmar Investco (SMI) akan memasang mesin perlombongan mata wang kripto dalam hartanah kumpulan itu di Melaka.
Ia kini mengendalikan enam pusat beli-belah dengan keluasan lebih dari enam juta kaki persegi di Melaka selain juga memiliki empat hotel di negeri ini.
Hatten Land dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, pihaknya berhasrat untuk memasang sehingga 2,000 mesin mata wang kripto di pusat perlombongan mata wang kripto berteknologi hijau.
Dijangkakan pemasangan untuk mengendalikan peralatan itu akan bermula Disember ini.
Kedua-dua pihak, Hatten Land dan SMI telah pun menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) untuk bersama-sama meneroka perniagaan perlombongan kripto.
MoU berkenaan akan memberi nilai tambah kepada Hatten Technology dari segi pengurusan kemudahan perlombongan kripto berteknologi hijau selain memanfaatkan aset kumpulan dan menurunkan kos tenaga untuk memulakan aktiviti cekap tenaga.
Hatten Land dalam kenyataan itu turut memaklumkan telah menandatangani kerjasama strategik untuk memajukan pusat beli-belah dan tanah dengan tenaga solar.
Anak syarikatnya, Hatten Commercial Management Sdn Bhd, telah menjalin perjanjian kerjasama strategik dengan Neston Sustainable Solutions Sdn Bhd untuk meneroka peluang yang berkaitan dengan tenaga suria.
Nestcon Sustainable dimiliki sepenuhnya oleh Malaysa’s Nestcon Bhd.
Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak akan berusaha untuk memetetarai perjanjian selama setahun untuk membentuk usaha sama (JV) dan atau konsortium dengan rakan syarikat lain. JV atau konsortium akan memasang dan menguruskan panel solar di bangunan-bangunan Hatten Land di Melaka.
Hatten Land berkata, dianggarkan 6,373 panel solar buat julung kalinya akan dipasang di pusat beli-belah terbesar di Melaka, Dataran Pahlawan Melaka Megamall. Panel berkenaan akan menghasilkan sumber tenaga solar sehingga 3.19 MWp.
Hatten Land dan Nestcon juga akan bersama-sama memanfaatkan rakan berpotensi lain untuk membekalkan, membina dan menguruskan loji solar ‘photovoltaic’ dan kemudahan lain di Malaysia.
Hatten Land mengatakan, kerjasama itu diharapkan dapat menurunkan kos tenaganya, mempercepat usaha kelestariannya dan menyokong inisiatif perlombongan kripto berteknologi hijau.
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Hatten Land Datuk Colin Tan berkata, aktiviti perlombongan kripto ‘hijau’ akan membolehkan Hatten Land memanfaatkan aset yang ada di Melaka, memanfaatkan inisiatif tenaga boleh diperbaharui sendiri dan mewujudkan aliran pendapatan baru dengan hasil perlombongan mata wang kripto.
“Semangat kami juga berkobar-kobar untuk memulakan kolaborasi tenaga solar dengan Nestcon, pada waktu kelestarian yang menjadi semakin penting hari ini.
“Menggabungkan usaha dan segala sumber yang ada, kami yakin perkongsian itu akan membolehkan lebih ramai mendapat manfaat peluang perniagaan baru dan meneruskan usaha kelestarian kami,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.