Hatten Land, Enjinstarter meterai perjanjian bagi pacu ekonomi digital di Melaka
Hatten Land Ltd yang mempunyai hotel serta gedung beli-belah di Melaka berkata kerjasama antara anak syarikat milik penuhnya Hatten Technology (S) Pte Ltd dan Prakal (atau dikenali sebagai EnjinStarter) akan menggalakkan pelancongan fizikal dan digital selain aktiviti-aktiviti e-dagang di bandar raya bersejarah Malaysia menerusi teknologi blockchain.
“Projek Digital Melaka bertujuan menjadi pemangkin utama dalam strategi peralihan kami sebagai hab inisiatif blockchain dan digital dalam usaha kami memperkemas pusat beli-belah sedia ada di Melaka,” kata Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Hatten Land Datuk Colin Tan dalam kenyataan pada Khamis.
Di bawah perjanjian itu, pihak terbabit akan bekerjasama untuk membangunkan ‘metaverse’ atau ruang maya dengan persekitaran digital, bermula dengan bandar kembar digital bagi Melaka (Digital Melaka).
Kedua-dua pihak akan memanfaatkan satu platform untuk mewujudkan sistem token yang akan menyokong transformasi digital negeri itu dan membolehkan transaksi dan penerimaan token oleh hotel, pusat tarikan, gedung beli-belah dan premis dengan lebih lancar.
Menurut Hatten Land, projek dengan EnjinStarter akan dimulakan pada pertengahan bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Bersama EnjinStarter Prakash Somosundram menyifatkan projek ‘metaverse’ tersebut akan membawa dimensi baharu yang membolehkan pihaknya meneroka ‘phygital’ – peluang secara luar dan dalam talian.
“Hatten Land merupakan rakan yang berpandangan jauh dan komited untuk menghimpunkan pihak berkepentingan utama dalam menjalin kerjasama dan merealisasikan projek pertama seumpamanya ini,” katanya.
Tempoh awal perjanjian itu adalah selama dua tahun dan boleh diperbaharui secara automatik setiap dua tahun kecuali ia dibatalkan.
EnjinStarter akan turut mewujudkan ibu pejabat serantaunya di Melaka baik secara fizikal dan digital serta secara bersama mengendalikan inkubator permainan maya, pameran permainan blockchain dan arked.
Hatten Group adalah pemilik serta mengendalikan pusat beli-belah dengan gabungan kawasan binaan berkeluasan lebih enam juta kaki persegi di Melaka selain memiliki atau menguruskan empat hotel.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.