Hati Qaseh Qhatijah Tan tenang dengar alunan selawat, ayat suci al-Quran

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 6 Februari – Membaca al-Quran setiap pagi menjadi rahsia Qaseh Qhatijah Tan, 30, mudah menghafaz setiap bait ayat suci itu sehingga berjaya merangkul gelaran johan hafazan al-Quran kategori wanita sempena Mahrajan Amal Islami Mualaf Peringkat Kebangsaan tahun lalu.

Menurut suri rumah yang berasal dari Ranau, Sabah itu, dia membuktikan tempoh singkat bergelar ‘saudara baharu’ bukanlah penghalang untuknya terus mendalami agama Islam sejak lima tahun lalu.

Menurut Qaseh Qatijah, meskipun proses penghijrahan sebagai saudara baharu banyak menerima rintangan, namun dia bersyukur keluarga menerima keputusannya memeluk Islam.

“Syukur Alhamdulillah, menerusi Kelas Fardhu Ain Mualaf (KAFAF) anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), pelbagai perkara asas dan cara hidup Islam dapat saya amalkan.

“Kadang kala saya ikut sekali aktiviti mereka di Balai Islam anjurkan. Hati saya rasa tenang dengar orang berselawat dan mengaji.

“Untuk mudah menghafaz, saya meletakkan kewajiban pada diri untuk membaca al-Quran setiap pagi dan dengan izin Allah mudah untuk menghafaz lepas kerap membaca,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Mualaf Negeri Melaka yang dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud, semalam.

IMG_20230205_201646_581
BANDA HILIR. Temubual pelajar Kelas Fardhu Ain Mualaf (KAFAF), Qaseh Qhatijah Tan, 30, selepas Majlis Apresiasi Mualaf Negeri Melaka Tahun 2022 anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Hotel Holiday Inn, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Dia yang juga antara penerima Anugerah Pelajar KAFAF Cemerlang pada majlis apresiasi itu turut menitipkan pesan buat saudara baharu yang memeluk Islam.

“Pesan saya kepada saudara baharu yang lain, jaga hati dengan baik, percakapan yang baik, kentalkan hati, kuatkan semangat dan sentiasa pesan pada hati nak ubah kehidupan ke arah lebih baik.

“Sepanjang proses berhijrah kena beri ruang pada diri untuk belajar terlebih dahulu apabila bersedia baru boleh berkumpul semula dengan rakan lama,” katanya yang telah menetap di Melaka selepas berkahwin tiga tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1953
Kongsi :
Previous post Mualaf di Melaka meningkat
Next post Cari damai di Pulau Besar
Ubah saiz-+=