Hasrat bercuti tiga beranak bertukar tragedi
ALOR GAJAH 28 Oktober – Tiga beranak yang maut dalam kemalangan maut di Kilometer 216 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara pagi tadi dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Port Dickson untuk bercuti.
Dalam kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi itu, Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, 28 yang memandu kereta Honda Jazz dan isterinya Zubaidah Abd Rajak, 28 serta bayi mereka, Muhammad Rizqi berusia satu tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu lori berusia 43 tahun bagaimanapun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah Johor Bharu menghala ke utara untuk bercuti.
Katanya, hasil siasatan mendapati ketika kejadian pemandu lori terbabit menghentikan kenderaannya di lorong paling kanan dan dalam proses meletakkan kon bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan pembahagi jalan tengah di lebuh raya terbabit.
“Kereta dipandu mangsa datang dari arah belakang telah merempuh lori terbabit.
“Akibat perlanggaran itu, pasangan suami isteri yang bertugas sebagai jururawat di hospital swasta Johor Bahru serta bayi mereka cedera di kepala sebelum ketiga-tiganya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Arshad berkata semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah bagi bedah siasat manakala pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.
“Waris mangsa sudah dimaklumkan dan dalam perjalanan dari Johor.
“Kedua-dua kenderaan ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan dan siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.