Hasilkan video lakonan anak-anak sebagai pejuang demi memupuk semangat Merdeka

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

CHUKAI 31 Ogos – Pengorbanan dan kesungguhan pejuang kemerdekaan bukan sahaja untuk diingati tetapi juga perlu dihayati dan dijiwai.

Pendirian yang dipegang oleh Nur Zamri Shafie, 53, tidak hanya menjadikan beliau seorang yang patriotik tetapi juga berbeza daripada individu lain kerana sanggup mengeluarkan kos lebih RM1,000 untuk menghasilkan video pendek di sebalik kemerdekaan negara.

Lebih membanggakan, beliau yang merupakan seorang kontraktor, berkongsi semangat kemerdekaan itu dengan isterinya, Salida Abdullah, 45, dan dua orang anak mereka serta dua anak saudara sehingga terhasilnya video tersebut.

“Pada awalnya, ia hanyalah untuk kenangan bersama keluarga kerana agak mencabar juga menghasilkan video ini, lebih-lebih lagi untuk pastikan anak-anak menghayati watak masing-masing. Pernah juga mereka merajuk dan berasa tidak mampu membawa watak sebagaimana yang kami mahukan.

“Bagaimanapun, saya tidak cepat putus asa dan cuba memujuk dengan bercerita penuh semangat serta mengajar mereka sehingga mampu meneruskan pembikinan video sebagaimana yang diharapkan,” katanya kepada media ketika ditemui di kediamannya di Kampung Geliga di sini, baru-baru ini.

TANGKAP layar daripada video berdurasi 3.19 minit bertajuk ‘Ini Tanah Kita’

Menceritakan mengenai video berdurasi 3.19 minit bertajuk ‘Ini Tanah Kita’, Nur Zamri berkata ia memaparkan perjuangan wira negara menentang penjajah selain memupuk nilai kecintaan kepada negara.

Nur Zamri berkata rakaman video itu dibuat di sekitar Bukit Bendera berdekatan Pantai Teluk Mok Nik dengan penampilan dua anaknya – Adam Danial Nur Zamri, 11; dan Irfan Darwish, 9; serta dua anak saudara – Mohd Ilham Sani, 11; dan Nur Izra Sani, 8.

Video itu telah dimuat naik di Facebook Zamri Shafie dan YouTube budak moto kira-kira 12 tengah malam tadi, sempena Hari Kebangsaan ke-64.

“Sudah menjadi kewajipan sebagai bapa untuk menerapkan nilai patriotik…syukur, anak-anak bagaikan memahami malah setiap kali tiba bulan kemerdekaan, mereka akan sama-sama memikirkan pelbagai aktiviti untuk menyemarakkannya.

“Adakala kanak-kanak akan melaungkan perkataan ‘merdeka’ tapi tidak memahaminya, begitu juga anak saya ketika masih kecil, sehingga ada yang bercita-cita ingin menjadi askar komunis. Saya terpaksa menerangkan tentang siapa pejuang dan siapa komunis berdasarkan kisah sejarah bagi membetulkan pemahaman mereka,” kata Nur Zamri.

Penghasilan video itu telah bermula sejak dua minggu lalu dan ia sebagai ‘pengubat hati’ kerana tidak dapat menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka sepertimana sebelum ini, katanya.

Sejak tahun 2004, beliau dan keluarga tidak pernah terlepas peluang menyertai perarakan di ibu negara, namun pandemik COVID-19 telah menyebabkan mereka terpaksa meraikan hari bersejarah itu dengan cara tersendiri.

“Sebelum ini setiap kali menyertai perarakan, saya dan isteri akan memastikan anak-anak memperagakan pelbagai pakaian unik seperti baju Melayu, baju kurung yang dijahit menggunakan bendera Malaysia dan pakaian seragam polis zaman dahulu yang ditempah khas,” katanya.

Menurut Nur Zamri, pada Ogos tahun lepas beliau turut menghasilkan video pertempuran antara pejuang negara dan komunis tanpa menggunakan dialog yang berdurasi 2.21 saat menggunakan aplikasi telefon pintar.

“Video itu juga telah dimuat naik di Facebook cuma video kali ini ada pertambahan bilangan pelakon serta mempunyai jalan cerita yang lebih panjang dan dialog,” katanya.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

837
Kongsi :
Previous post Sambutan Hari Kebangsaan 2021 penuh patriotisme dalam semangat Keluarga Malaysia
Next post Warga emas selesai kuarantin COVID-19 maut ambulans terbabas
Ubah saiz-+=