Harun Lat, lukis ‘sejarah’ Melaka
BANDA HILIR 25 Jun – Minat pada seni lukisan sejak di bangku sekolah membantu seorang pelukis tanah air Harun Lat untuk menghasilkan lebih 200 karya seni yang kini dipamerkan di beberapa muzium di negeri ini.
Biarpun usianya kini sudah menginjak 77 tahun, namun itu bukan halangan untuk meneruskan minatnya dan sehingga hari ini masih mampu berkarya sekiranya mendapat permintaan daripada pelanggan.
Memulakan kerjaya sebagai pelukis selepas berhenti menjadi tentera pada tahun 1976, Harun Lat mula berkecimpung dalam bidang seni itu dengan hanya menjadi pelukis komik polis di Sarawak.
“Saya tidak melukis secara formal, minat ini memang datang dengan sendiri sejak di sekolah rendah lagi, saya mula menjadi pelukis pada tahun 1976 selepas berhenti menjadi tentera sejak tahun 1965.
“Pada awalnya saya hanya melukis potrait, tapi bila tengok ramai lukis benda yang sama saya cuba untuk ubah membuat lukisan sejarah atau peristiwa yang lebih memberi makna.
“Biasanya orang yang minta saya melukis dia akan sediakan teks dahulu, jadi lepas baca saya cuba faham dan bayangkan bagaimana membuat lakaran lukisan berkenaan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Muzium Sejarah dan Ethnografi di sini.
Mengimbau kenangan pada awal penglibatan dalam bidang seni, bapa kepada enam anak itu mula bergiat aktif menjadi pelukis di negeri ini pada awal tahun 1984.
“Tahun 1984 ini saya dah mula bergiat aktif melukis tentang sejarah-sejarah atau peristiwa yang berlaku di Melaka, tahun 1990 baharu saya pindah ke Melaka selepas mendapat permintaan menggalakkan untuk menjadi pelukis.
“Biasanya setiap lukisan memerlukan masa seminggu untuk siap bagi memastikan segala elemen yang dimasukkan adalah tepat dan kena dengan sejarahnya.
“Syukurlah, dari situ saya terus berusaha tanpa jemu dan kini saya gembira dengan apa yang telah saya capai sehingga boleh pamerkan lebih 200 lukisan di beberapa muzium di negeri ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai motif yang menjadi pilihan dalam karyanya, Harun memberitahu, ideanya banyak dipengaruhi sejarah dan peristiwa yang berlaku di Melaka.
Katanya, lukisan sejarahnya dijual bermula dengan harga RM2,000 pada sekitar awal tahun 1984 dan mencecah sehingga RM9,000.
“Di muzium ini (Muzium Sejarah dan Ethnografi) ada lebih 100 lukisan saya yang dipamerkan, ada juga di beberapa muzium di Jasin dan Alor Gajah yang dipamerkan.
“Kepakaran saya dalam bidang seni ini lebih kepada sketching (lakaran), untuk membuat lakaran pergerakan manusia itu memang susah, tapi sampai sekarang saya masih boleh buat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Harun berharap supaya hasil karyanya yang dipamerkan di muzium dapat dijaga dengan baik supaya ianya dapat dikongsikan kepada generasi akan datang.
“Saya harap lukisan yang pernah saya boleh dijaga dengan baik supaya diingati oleh generasi yang akan datang…dengan lukisan inilah ia boleh menceritakan tentang asal usul sejarah Melaka yang ramai tidak tahu.
“Siapa tahu 100 tahun lagi jika karya saya masih elok, boleh lah generasi akan datang lihat kembali.
“Mungkin generasi muda hari ini kurang berminat seni lukisan, tetapi kalau minat buatlah betul-betul kerana seni ini kita perlu menjiwainya sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.