Sorting by

×

Hartanah tidak terjual di Melaka rendah

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 Februari – Hanya 551 unit kediaman yang siap dibina di Melaka membabitkan nilai keseluruhan RM283.9 juta tidak terjual sehingga suku ketiga 2023.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, angka itu berdasarkan laporan yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

Menurut beliau, jumlah tersebut jauh lebih rendah daripada beberapa negeri lain apabila secara keseluruhan terdapat 25,311 unit kediaman tidak terjual di seluruh Malaysia.

“Kerajaan Negeri Melaka memandang serius terhadap pembangunan perumah yang siap dibina tetapi tidak terjual. Daripada keseluruhan 25,311 unit, Melaka cuma mencatatkan 551 unit tidak terjual.

“Angka ini adalah jauh lebih rendah berbanding negeri lain seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang yang mencatatkan hartanah tidak terjual melebihi angka 2,900 unit setiap negeri.

“Namun begitu, Kerajaan Negeri tidak boleh selesa dan berdiam diri, untuk itu langkah penambahbaikkan perlu dilaksanakan termasuklah pemaju perlu lebih kreatif dalam menghadapi situasi ini tanpa mengabaikan keselesaan serta kemampuan bakal pembeli rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, merasmikan Majlis Perasmian Ekspo Rumah Mampu Milik Negeri Melaka Tahun 2024, di Pusat Beli-Belah Aeon Bandaraya Melaka.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin dan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Husam Musa.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, berdasarkan laporan NAPIC sehingga suku ketiga 2023 juga, Melaka masih mengekalkan status sebagai negeri yang menawarkan harga rumah terendah di Malaysia dengan purata harga RM207,600 berbanding di peringkat nasional dengan kadar RM458,751.

“Saya percaya pencapaian ini dipengaruhi oleh dasar perumahan Kerajaan Negeri Melaka yang menetapkan setiap pembangunan perumahan melebihi 10 ekar perlu membina sekurang-kurangnya 50 peratus komponen rumah mampu milik (RMM).

“Ia membabitkan Rumah Kos Rendah dengan harga RM70,000; Rumah Kos Sederhana Rendah RM120,000; Rumah Mampu Milik Impian A tidak melebihi RM180,000 dan Rumah Mampu Milik Impian B dengan harga tidak melebihi RM250,00.

“Sebagai galakan dalam pembinaan RMM, Kerajaan Negeri mempelbagaikan inisiatif yang holistik kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40) antaranya Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Belia dan Rumah Sewa Beli selain penduduk Melaka juga boleh membuat pinjaman perumahan melalui Melaka Finance House (MFH),” katanya.

Jelasnya lagi, menerusi kerjasama erat dengan pemaju swasta termasuk Kerajaan Persekutuan, sehingga 31 Disember 2023 yang lepas, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) merekodkan pembangunan sebanyak 48,966 unit RMM di seluruh negeri ini bagi tempoh lima tahun iaitu bermula 2020 hingga 2025.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

627
Kongsi :
Previous post Tutup semua suis sebelum pulang ke kampung
Next post Melaka kekal status negeri tawar harga rumah terendah
Ubah saiz-+=