Sorting by

×

Harimau Malaya terlalu hormat Vietnam – Cheng Hoe

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Dis – “Kami terlalu hormat kepada Vietnam!”

Itulah penilaian Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berikutan kekalahan 0-3 pasukan negara kepada Vietnam dalam perlawanan ketiga Kumpulan B Kejohanan Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura malam ini.

Beliau mengakui mereka kalah kepada pasukan yang lebih baik dan menggambarkan aksi menentang juara bertahan itu sebagai satu pertempuram yang amat sukar biarpun anak-anak buahnya telah mencuba yang terbaik untuk mencabar Vietnam di dalam gelanggang.

“Saya rasa kami kalah disebabkan kesilapan taktik tetapi saya nampak kami bermain dengan terlalu berhati-hati dan bertahan sahaja dalam babak pertama.

Pasukan saya tidak dapat menguasai dan mengawal bola sebagaimana biasa dilakukan dalam perlawanan kali ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Oleh itu, jurulatih berusia 53 tahun itu berkata anak-anak buahnya perlu belajar daripada perlawanan menentang “Naga Emas” berapi dan menggesa mereka untuk melangkah ke hadapan dengan mempersiapkan diri untuk pertarungan penting dengan musuh ketat, Indonesia, Ahad depan untuk menentukan kelayakan ke separuh akhir.

Beliau juga berharap para pemain akan menggunakan waktu seminggu untuk berehat dan menjalani proses pemulihan menjelang aksi terakhir Kumpulan B minggu depan.

Cheng Hoe percaya keputusan akan menjadi sebaliknya seandainya beliau mempunyai skuad yang lengkap kali ini.

“COVID-19 dan kecederaan beberapa pemain kami telah menjejaskan semangat pasukan tetapi saya tetap memuji kerja keras mereka selama ini yang membuahkan hasil,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak mahu menyalahkan Luqman Hakim Shamsudin  kerana terlepas satu peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-33 dan berharap kesilapan itu tidak akan mematahkan semangat pemain KV Kortrijk yang berpangkalan di Belgium di masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo merasa gembira melihat pasukannya keluar dari gelanggang dengan tiga mata dan memuji anak buahnya kerana mempamerkan aksi yang hebat untuk memenangi aksi kedua mereka dalam Kumpulan B.

“Ia selalunya sukar untuk bermain menentang Malaysia tetapi akhirnya saya merasa gembira untuk mendapat kemenangan hari ini,’ katanya.

Malaysia dihukum kerana gagal menyesuaikan diri dengan permainan intensiti tinggi apabila Vietnam membolosi gawang pasukan negara dua kali dalam jarak empat minit pada babak pertama sebelum memperoleh gol ketiga dalam minit-minit terakhir sebelum wisel penamat ditiup.

Gol-gol Vietnam dijaringkan oleh Nguyen Quang Hai pada minit ke-32 diikuti Nguyen Cong Phuong (minit ke-36) dan Nguyen Hoang Doc (minit ke-89).

Keputusan malam ini juga memadamkan rekod tanpa kalah Harimau Malaya di dalam Kumpulan B yang sebelum ini menewaskan Kemboja dan Laos dalam dua perlawanan pertama.

Kekalahan di tangan juara bertahan itu mengakibatkan Malaysia turun ke tangga ketiga di dalam Kumpulan B di belakang pendahulu Indonesia dan Vietnam serta menjejaskan peluangnya untuk layak ke separuh akhir.

Ini juga merupakan kekalahan keenam Malaysia dalam tujuh perlawanan dengan Vietnam sebelum ini dan kelima di bawah kendalian Cheng Hoe sejak mengambil alih pasukan kebangsaan pada 2017.  – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

709
Kongsi :
Previous post Lebih RM156 bilion dibelanjakan untuk pakej bantuan, rangsangan ekonomi
Next post Pindaan Akta 342: Syarikat langgar SOP boleh dikompaun sehingga RM1 juta – Khairy
Ubah saiz-+=