Harimau kumbang jantan ‘galak’ musim PKP- Zoo Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

MELAKA 30 Jan. – Suasana sepi dan tenang tanpa kunjungan pelawat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 kini dilihat memberi ruang kepada haiwan di Zoo Melaka untuk mengekspresikan tingkah laku dan interaksi semula jadi antara haiwan.

Ketua Unit Zoologi Zoo Melaka Azman Ghazali berkata sebelum ini, haiwan di zoo itu sering kali dilihat bersikap pasif malahan menyembunyikan diri ketika kehadiran pengunjung.

Beliau berkata perubahan perlakuan haiwan apabila tiada pengunjung di zoo dapat dilihat terutamanya kepada sekumpulan enam ekor harimau kumbang di zoo itu apabila dua ekor harimau kumbang jantan kini lebih aktif memikat harimau kumbang betina untuk mengawan.

“Terdapat enam ekor harimau kumbang di Zoo Melaka dan kami kesan empat daripadanya kerap mengawan kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Perkembangan ini katanya, diharapkan dapat mencatat sejarah baharu bagi pusat konservasi jika harimau kumbang betina itu bunting dan dapat melahirkan anak di Zoo Melaka.

Setakat ini, Zoo Melaka belum menerima kelahiran anak harimau kumbang walaupun mula memelihara spesies berkenaan sejak belasan tahun secara berperingkat termasuklah seekor harimau kumbang betina yang diambil kira-kira enam bulan lalu.

“Harapan saya bagi kedua-dua pasangan itu adalah supaya dapat anak yang sihat agar selepas ini kita boleh merangka program pelepasan semula spesies berharga ini ke habitat asal mereka.

“Kemungkinan untuk harimau kumbang betina ini bunting adalah tinggi kerana penjaga haiwan tersebut lebih fokus untuk membuat pemerhatian, penyediaan diet bernutrisi, penyediaan kawasan bermain yang lebih baik sekali gus dapat melakukan persiapan untuk menyambut kelahiran,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata haiwan lain juga menunjukkan kemungkinan untuk lebih membiak dalam kesepian suasana di zoo itu sekarang.

“Sebagai contoh, burung kakak tua adalah antara spesies utama Zoo Melaka dan terdapat lebih 20 ekor terdiri daripada enam spesies seperti ‘blue and gold macaw’ dan ‘scarlet macaw’ dan haiwan itu memerlukan suasana yang tenang untuk mengeramkan telurnya di sarang.

“Jika burung berkenaan tertekan atau berasa terganggu dengan kunjungan pelawat, ia akan meninggalkan sarangnya sekali gus menyebabkan telur berkenaan tidak dapat menetas,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Hidupan Liar Unit Zoologi Zoo Melaka Muhammad Aizad Faizatul Azreen berkata, walaupun Zoo Melaka tidak dibuka dalam tempoh PKP ketika ini, seramai 40 penjaga haiwan terlatih tetap perlu bertugas setiap hari bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan haiwan di bawah jagaan mereka.

Beliau yang berperanan sebagai penyelia di zoo berkenaan berkata dalam tempoh itu juga, penjaga haiwan dapat meluangkan lebih banyak masa untuk mengeratkan lagi hubungan, memperbaiki interaksi serta memahami lebih jelas setiap tingkah laku haiwan di bawah jagaan mereka.

Views:

943
Kongsi :
Previous post Hilang RM24,400 akibat ditipu ‘Inspektor Aidil
Next post YM Che’ Puan Khaleeda zahir simpati kematian Amir
Ubah saiz-+=