Hari Wesak PKP 3.0: Penganut berdoa depan pagar tokong
KOTA LAKSAMANA 26 Mei – Penganut agama Budha di negeri ini terpaksa akur dengan arahan kerajaan yang tidak membenarkan sebarang upacara keagamaan di tokong-tokong bersempena Hari Wesak yang jatuh pada hari ini.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Tokong Seck Kia Eenh, Gajah Berang di sini, sejak jam 8 pagi lagi, terdapat penganut agama Budha di negeri ini yang datang ke tokong berkenaan untuk upacara sembahyang, namun, kesemua mereka tidak dibenarkan masuk oleh petugas.
Rata-rata penganut dilihat patuh dengan arahan, namun ada yang mengambil kesempatan berdoa di hadapan pagar tokong bersempena hari kelahiran, pencerahan dan kematian Gautama Buddha itu.
Menurut Pengerusi Pengelola Jawatankuasa Sambutan Hari Wesak peringkat negeri Melaka, Baba Cedric Tan, untuk sambutan kali ini hanya seramai 10 ahli jawatankuasa tokong berserta sami dibenarkan untuk berada di tokong bagi upacara itu.
Jelasnya, walaupun ada penganut yang datang dan meminta keizinan untuk memasuki tokong bagi upacara sembahyang, namun pihaknya perlu mematuhi arahan ditetapkan Kementerian Perpaduan Negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang telah diperketatkan.
“Kesemua mereka faham kerana kita juga telah memaklumkan dalam notis melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook. Jadi, mereka hanya datang dan bersembahyang dan bersujud sekejap sebelum pulang.
“Lagipun, dalam dunia serba moden kini, ramai penganut sudah beralih kepada sambutan secara dalam talian yang mana kita juga menyediakan siaran langsung di Facebook untuk mereka bersama-sama berdoa dan bersembahyang,” katanya.
Dia yang juga Naib Presiden Tokong Seck Kia Eenh berkata, sebelum COVID-19 melanda negara, sambutan Hari Wesak di tokong berkenaan cukup meriah apabila tidak kurang 4,000 ke 5,000 penganut akan hadir.
Namun, berikutan PKP yang dilaksanakan tahun lalu dan tahun ini, situasi berubah sepi memandangkan tiada perarakan dan upacara keagamaan dibenarkan.
“Biasanya seminggu sebelum kita sudah adakan upacara puja malam dan sehari sebelum pula diadakan perarakan kenderaan berhias. Tokong memang dibuka setiap masa dan sehingga ke pagi masih ada yang berada di sini.
“Tapi apa boleh buat, walaupun suram, kita cuma boleh berdoa agar semua rakyat selamat, sentiasa sihat sejahtera dan semoga pandemik COVID-19 cepat berakhir untuk kita menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.