Sorting by

×

HARI TERAKHIR KUAM 2024 ‘LUAR BIASA’

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BATU BERENDAM 3 November – Cuaca panas terik tidak menghalang ribuan pengunjung untuk hadir bagi melihat secara dekat Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), di sini, hari ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini di tapak karnival mendapati pengunjung bukan hanya memenuhi kawasan pameran aset seperti helikopter malah reruai pameran turut menjadi tumpuan ramai.

Pengunjung yang hadir terutama kanak-kanak tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama juruterbang dan juruteknik yang bertanggungjawab mengendalikan aset tentera yang dipamerkan.

Antara aset yang dipamerkan adalah helikopter AgustaWestland, AW139 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pesawat Fennec M502-5.

Aksi terjunan payung terjun daripada pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), VAT69 Komando dari ketinggian 5,000 kaki turut mencuri tumpuan pengunjung.

Kemunculan Airport Fire Rescue Service (AFRS) atau dikenali juga sebagai Lion 6×6 buatan Turkiye juga menarik perhatian apabila jarak pancutan air yang dilepaskan mencecah kira-kira 90 meter.

Selain itu, antara yang menjadi tumpuan ramai dan menarik minat pengunjung cilik adalah pameran daripada 10 Briged Para kerana orang ramai bukan hanya dapat melihat aset tentera tetapi juga menaiki kenderaan perang.

Turut berlangsung pada hari terakhir KUAM 2024 adalah pertandingan mewarna anjuran Menara Taming Sari bersama Kentucky Fried Chicken (KFC) Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1447
Kongsi :
Previous post MELAKA ‘RAJA’ BOLA BALING BAWAH 20 TAHUN
Next post KUAM 2024 DISERBU PELANCONG LUAR NEGARA
Ubah saiz-+=