Sorting by

×

Hari Malaysia peluang terbaik untuk Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDA HILIR 16 September – Pemilihan Melaka sebagai lokasi penganjuran Hari Malaysia julung kali di Semenanjung Malaysia disifatkan sebagai peluang terbaik untuk negeri ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, penganjuran berskala besar penuh gilang-gemilang itu berupaya membantu Melaka memacu sektor pelancongan domestik yang sebelum ini terkesan teruk akibat pandemik COVID-19.

“Sesungguhnya, pemilihan sebagai tuan rumah Hari Malaysia 2022 ini memberikan peluang terbaik kepada Melaka untuk terus memperkasakan sektor pelancongan domestik kami ketika negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik memandangkan sektor pelancongan adalah nadi pertumbuhan ekonomi negeri.

“Apa yang penting, melalui semangat patriotisme sebegini, setidak-tidaknya, mendorong Kerajaan Negeri dan Persekutuan, untuk terus memastikan agar kemakmuran dan ketenteraman negeri dan negara berkekalan, sekali gus dapat merancakkan lagi perancangan pembangunan di pelbagai sektor, demi kemajuan ekonomi negara dan Negeri Melaka khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menerusi rakaman video sempena sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, malam ini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam; Perdana Menteri Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Utama Muhaini Zainal Abidin; Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan; Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; barisan Menteri Kabinet dan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam ucapannya, Sulaiman turut memberikan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi penghormatan kepada Kerajaan Negeri Melaka menjadi tuan rumah pertama bagi sambutan pertama di luar Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia sekali gus mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap nilai-nilai budaya hidup masyarakat berbilang kaum yang ada di negeri bersejarah ini.

“Sesungguhnya, kami di Melaka sejak dahulu lagi sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan pragmatik terhadap hubungan kaum dan agama, yang dapat memperkasa hubungan integrasi nasional.

“Malah, permulaan dasar dan hubungan integrasi yang mahu diterapkan dalam kalangan rakyat sebenarnya telah bermula sejak zaman gemilangan Kesultanan Melayu Melaka lagi.

“Justeru, saya mengharapkan agar Sambutan ini dapat menyemarakkan lagi semangat cinta akan negara dalam kalangan rakyat Malaysia seterusnya menzahirkan taat setia kepada negara tanpa mengira kaum, agama dan bangsa serta memupuk perpaduan serta kebersamaan dalam mengharungi cabaran dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1270
Kongsi :
Previous post Lautan manusia meriahkan Hari Malaysia di Melaka
Next post Keluarga Malaysia beridentiti nasional perlu dipertahankan – PM
Ubah saiz-+=