Hari Malaysia: Manfaat riadah terapi keluarga

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KLEBANG 16 Sept. – Meskipun hanya cuti sehari bersempena Hari Malaysia, ia sudah cukup untuk membawa keluarga keluar beriadah dan bersantai di tepi pantai bagi terapi diri dan anak-anak.

Rata-rata itu antara jawapan ibu bapa yang membawa anak-anak ke Pantai Klebang kerana tidak mahu melepaskan peluang mengunjungi kawasan riadah popular itu.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di pantai tersebut mendapati orang ramai mula berkunjung ke pantai terbabit seawal jam 9 pagi tadi.

HADIJAH.

Bagi Hadijah Ahmad, 45, cuti umum sempena Hari Malaysia itu perlu dimanfaatkan dengan membawa keluar anak-anak selepas sekian lama hanya duduk di rumah.

Katanya yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan, dia, suami dan anak datang ke pantai tersebut pada jam 11 pagi untuk beriadah.

“Pantai Klebang ni memang akan ramai kalau hujung minggu, cuti umum macam hari ini, jadi saya dan suami bawa anak-anak keluar hirup udara segar dan main pasir pantai, tengok anak pun seronok.

“Kalau sebelum ini, anak sibuk dengan PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah), kelas atas talian, jadi bila kita dapat cuti bawa anak keluar, seronoklah, dapat lihat persekitaran lain untuk mereka.

“Masa yang sama, ajar juga anak-anak untuk sentiasa jaga SOP (prosedur operasi standard, dalam keadaan endemik ini,” kata ibu anak empat itu.

KHAIRUL.

Nada sama juga disuarakan oleh anggota polis, Khairul Mohd Taqwa Khalid, 32, yang mengambil peluang cuti sehari itu untuk membawa isteri dan anak-anak menghirup udara pantai selepas sekian lama mereka ‘terkurung’ di rumah.

Katanya yang bekerja syif malam, tidak mahu hanya duduk ‘melepet’ di rumah, tujuannya bawa anak keluar kerana kesibukannya yang bertugas sebagai barisan hadapan.

“Kelonggaran diberikan kerajaan kepada individu yang sudah lengkap dua dos vaksin adalah tepat kerana dapat meredakan tekanan ibu bapa dan anak-anak yang sebelum ini terhad untuk melakukan aktiviti.

“Sukar untuk saya yang bekerja sebagai polis untuk dapat cuti, kebetulan kerja syif malam hari ini jadi dapatlah luangkan masa bawa mereka bersantai di pantai hari ini.

“Anak pun gembira dapat bergambar dengan kereta kuda, makan aiskrim dan macam-macam lagi,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1370
Kongsi :
Previous post Cadang warta Pulau Undan sebagai Taman Laut Negara
Next post Pesakit kronik wanita korban baharu COVID-19
Ubah saiz-+=