Sorting by

×

HARI INOVASI MELAKA 2025 SASAR 500 PENYERTAAN

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 5 Disember – Penganjuran Hari Inovasi Negeri Melaka 2025 akan diteruskan pada skala yang lebih besar dengan menyasarkan penyertaan sehingga 500 idea inovasi baharu.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, sasaran itu adalah berdasarkan kepada 120 penyertaan diterima pada penganjuran edisi sulung program itu.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, bagi penganjuran kali ini sebanyak 23 penyertaan diterima daripada wakil institusi pengajian tinggi (IPT), agensi (38), sekolah menengah (33) dan sekolah rendah (26).

“Ini adalah langkah permulaan untuk kita menambah baik penganjuran Hari Inovasi Negeri Melaka yang mana ia akan diangkat kepada Kerajaan Negeri untuk diadakan setiap tahun dengan kerjasama RICE Melaka @UTeM.

“Bagi penganjuran edisi akan datang saya akan berbincang bersama jawatankuasa penganjur bagi meningkatkan lagi jumlah penyertaan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 500 idea inovasi baharu yang akan dipertandingkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Hari Inovasi Negeri Melaka 2024 yang bertemakan Pemerkasaan Budaya Inovasi Pemangkin Masyarakat di Kampus Teknologi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM Prof Ir. Ts. Dr. Ghazali Omar dan Pengarah Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE Melaka @UTeM Prof Ts. Dr. Effendi Mohamad.

Menurut Fairul Nizam, penganjuran itu juga mendokong pelaksanaan Bank Inovasi Melaka (BIM) yang menghimpunkan seluruh inovasi daripada pelbagai agensi termasuk sekolah dan masyarakat.

“BIM ini sudah diwujudkan sejak 2023 dan idea-idea yang diketengahkan menerusi penganjuran ini akan dimasukkan ke BIM untuk dihimpunkan.

“Ini merupakan produk inovasi pertama RICE Melaka @ UTeM sebagai platform untuk mengkomersialkan
produk inovasi dan reka cipta yang berpotensi diketengah serta dikomersialkan dalam pasaran,” katanya.

Jelasnya, pada penganjuran kali ini sebanyak lapan kategori teknologi membabitkan penyelidikan dipertandingkan beserta empat kategori ‘Young Inventors’ khusus untuk pelajar sekolah.

“Selain itu saya turut tambah dua hadiah untuk pembentang terbaik bagi pelajar dan murid sekolah rendah sebagai memberi galakan kepada mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

274
Kongsi :
Previous post MUZIUM BOMBA AKAN DIBINA DI MELAKA
Next post PEMBANGUNAN HARTANAH TARIK MINAT PELABUR KE MELAKA
Ubah saiz-+=