Sorting by

×

Hari Ibu: Beri perhatian dan kasih sayang pada ibu – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Bersempena Hari Ibu yang disambut hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan anak-anak agar memberi kasih sayang sepenuhnya kepada ibu semasa mereka masih ada.

Dalam catatan di laman Facebooknya, beliau yang mengucapkan Selamat Hari Ibu berkata jasa ibu tidak terbalas, dan wang ringgit bukan segala-galanya, tetapi kasih sayang dan perhatian memadai menjadi pengubat hati yang penuh kerinduan.

“Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Begitulah diumpamakan kehebatan seorang ibu dalam mencorak hidup anak supaya menjadi insan yang berguna dan berjasa dalam pembangunan negara,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob turut tidak ketinggalan mengimbau semula kenangan bersama arwah ibunya, Wan Jah Wan Mamat dalam mendidiknya menjadi seorang insan berguna.

Ismail Sabri berkata ibunya banyak mencorak hidupnya agar dapat menjadi insan yang berbakti kepada seluruh Keluarga Malaysia dan mendidik beliau serta adik beradik dengan penuh kasih sayang.

“Kami anak kampung yang serba kekurangan dan arwah maklah yang menyempurna dan membahagiakan kami dengan cara mak yang tersendiri. Kelembutan dan keikhlasan arwah mak dalam membesarkan anak-anak dengan begitu tabah sekali.

“Terima kasih mak atas segala jasa yang dicurahkan… yang tidak mampu insan bergelar anak membalas jasa mak,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1535
Kongsi :
Previous post Padah cabul pelajar dalam bas, seorang lelaki ditahan
Next post Lebih 100,000 hadir rumah terbuka di Seri Perdana
Ubah saiz-+=